KUANTAN: Rutin remaja Muhammad Syahrul Rostam setiap malam adalah berlegar-legar di sekitar Jaya Gading di sini, mencari kotak dan tin kosong bersama-sama adiknya Muhammad Nazirul Shafik. Muhammad Syahrul, 17, akan menghulurkan kotak atau tin yang dijumpai kepada adiknya Muhammad Nazirul Shafik, 9, untuk dimasukkan ke dalam plastik bagi memudahkan dibawa pulang ke rumah mereka di Perumahan Rakyat Termiskin di Jaya Gading. Sebagai anak sulung, Muhammad Syahrul 'memilih' untuk berhenti sekolah pada usia 14 tahun, bagi membantu ibunya Sharifah Noraini Syed Yaman Aziz, 35, mencari rezeki bagi memastikan adik-adiknya dapat terus menimba ilmu. "Selepas berhenti sekolah, saya bekerja di pusat mencuci kereta dengan upah RM30 sehari. Sekarang saya mencari dan menjual kotak dan tin kosong. Jika bernasib baik, saya boleh bawa pulang RM20 sehari. "Tetapi, jika diberikan peluang, tentu saya mahu sambung belajar... sekurang-kurangnya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya dapat ke kelas kemahiran untuk menjadi mekanik," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Muhammad Syahrul ditemui pada program Jejak Asnaf Fakir Miskin anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang hadir ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan makanan dan barang keperluan. 'Aksi' dua beradik itu menyelongkar tong sampah bagi mencari rezeki pernah dimuat naik di Facebook dan mendapat 1,865 'likes'. Selain Muhammad Nazirul Shafik, tiga lagi adik Muhammad Syahrul ialah Siti Fatimah, 16, Siti Shafikah, 14, Muhammad Khairul, 11. Muhammad Syahrul berkata ayahnya Rostam Ahmad, 37, meninggal dunia pada 2012 akibat barah otak, manakala ketiadaan Sharifah Noraini pada 'kunjungan mengejut' itu ialah kerana ibunya baharu dua hari bekerja sebagai tukang cuci. Bercerita tentang persiapan raya, Siti Fatimah yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mahkota di sini, berkata perkara itu bukan keutamaan kerana tidak mahu membebankan ibu. "Jika ada wang lebih mungkin akan fikir tentang baju baharu. Jika tiada pun tidak mengapa kerana baju sebelum ini masih boleh digunakan," katanya. Beliau juga memberitahu rumah dua bilik itu turut didiami ibu saudaranya Sharifah Nur Baizura Syed Yaman Aziz, 25, dan suaminya Mohd Shukri Husin, 25, yang berkerja sebagai buruh serta empat anak mereka iaitu Mohd Shukri Alias, 8, Nur Mazliana, 4, Mohd Amirul Rizal, 3, dan Nur Amira Natasha, 7 bulan. Sementara itu, Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Ihsan UMP Dr Mahyuddin Ismail berkata Muhammad Syahrul adalah satu daripada 11 asnaf fakir miskin yang dikenal pasti untuk menerima sumbangan itu. "Program ini memberi peluang dalam kalangan warga universiti untuk turun padang menghulurkan sumbangan keperluan asas supaya golongan ini juga dapat merasai kegembiraan pada Ramadan ini," katanya. Beliau berkata sumbangan itu diselaraskan menerusi Jawatankuasa Kebajikan di Jabatan Pendaftar UMP selain dikumpulkan melalui sumbangan pihak korporat dan orang ramai.