suria

Makanan Basi Dari Bazar Ramadan Jadi Viral

HULU TERENGGANU: Cerita kuih basi di sebuah bazar Ramadan di sini dimuat naik menerusi WhatsApp dan menjadi viral dalam Facebook kumpulan.

Seorang pembeli Hasniza Hassan memuat naik status pada pukul 11.12 pagi semalam dengan berkata beliau kecewa kerana kuih agar-agar santan yang dibelinya tidak boleh dimakan.

"Mareng (semalam) gi beli agar-agar warna hijau. Balik nok (hendak) makan, basi doh (sudah).

"Kepada peniaga bazar, ambe (saya) tak kira pasal harga, tapi nok kabo (beritahu) janganlah jual semula kuih hok (yang) dok abih (tidak habis)...frust sebab anak-anak nak makan, tapi basi," katanya.

Status yang dimuat naiknya mendapat 170 'likes' dan turut mendapat 70 komen yang menyokongnya dan meluahkan pengalaman yang sama.

Fatin Juanah yang turut mengutarakan komen di status Hasniza berkata beliau turut merasa terkilan apabila kuih yang dibelinya turut basi.

"Beli kuih lopis, nak makan lepas terawih, tapi bila bukak plastik saja dah bau dan rasa masam. Memang sangat kempunan," katanya.

Noor Eyjai pula berharap penjual tidak hanya mahukan keuntungan dengan menafikan hak pembeli.

"Saya beli solok lada RM4, bila balik buka nak makan tak boleh makan sebab dah basi. Membazir je beli. Peniaga tolonglah menjual dengan ikhlas, jangan mengharapkan keuntungan dengan menjual makanan basi," katanya.

Bagi Shahbudin Abd Aziz, yang memuat status selesai waktu berbuka pada pukul 7.35 petang semalam berkata beliau sangat terkejut dan kecewa apabila mendapati terdapat ulat dalam rojak ayam yang dibeli bapanya dari bazar berkenaan.

"Petang tadi ayah wat balik rojak, aku nak makan masa berbuka, bila buka tengok ada ulat pada ayam, guana gitu?," katanya yang turut mendapat 241 likes dan 101 komen dari pengguna Facebook lain.

Nuraidah Damia turut turut kecewa apabila keinginan adiknya untuk menikmati berbuka puasa dengan ikan keli yang dibelinya terbantut apabila ikan tersebut didapati basi dan berbau.

"Beli ikan keli, basi dok starang, sian ke adik yang berharap sangat nak makan," katanya.

Mohamad Matt berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Kesihatan Negeri mengambil tindakan segera dengan membuat pemeriksaan dan pemantauan setiap hari agar kejadian tersebut tidak lagi berulang.

Bagi Awang Ulorx, beliau mencadangkan setiap bungkusan makanan yang dijual termasuk kuih diletakkan pelekat nombor gerai supaya senang aduan diutarakan sekiranya berlaku sebarang masalah.

Sementara itu tinjauan Bernama di bazar berkenaan sejak tiga hari lalu mendapati walaupun sudah hampir waktu berbuka, kelihatan masih banyak lambakan lauk dan kuih-muih yang tidak dapat dijual sesetengah peniaga.

Mungkin mereka mengambil jalan mudah dengan menjual kembali makanan yang tidak habis dijual itu pada hari berikutnya.

Ramadan, Makanan Basi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain