suria

Pelatih PLKN Bakal Ikuti Latihan Kemahiran Teknikal, Vokasional Lanjutan

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kini dalam peringkat kajian semula akan mewujudkan elemen-elemen yang mampu  meningkatkan kemahiran insaniah dan kemahiran lahiriah para pelatihnya.

Menerusi transformasi PLKN itu, para pelatih turut akan diperkenalkan dengan modul kemahiran teknikal dan vokasional, di samping penekanan terhadap  aspek-aspek kenegaraan, pembinaan karakter, semangat kesukarelaan dan patriotisme.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrasshid berkata latihan kemahiran dan vokasional ini akan dilaksanakan sepanjang program selama lapan bulan diikuti kursus lanjutan lebih kurang dua atau tiga bulan.

"Antara kemahiran yang akan ditawarkan adalah mekanikal, minyak dan gas, automotif. Selepas tamat program latihan, pelatih akan mengikuti kursus lanjutan di pusat-pusat latihan kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Katanya, inisiatif itu masih di peringkat perancangan dan akan dimuktamadkan sebelum sesi baharu program itu bermula, yang dijangka tahun hadapan.

Noor Ehsanuddin berkata terdapat 21 inisiatif yang tercetus melalui Makmal Transformasi PLKN dan masih di peringkat perancangan dalam usaha mentransformasikan PLKN untuk memastikan modul-modul program kekal bersifat dinamik, terkini dan menepati keperluan semasa di samping menarik minat belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober tahun lepas mengumumkan bahawa PLKN yang telah mengeluarkan lebih 800,000 pelatih sejak diperkenalkan pada 16 Februari 2004, akan dikaji semula, selain memperkenalkan konsep baharu menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan.

Najib, dalam Perutusan Khas Perkembangan Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara pada Januari lepas mengumumkan penangguhan PLKN tahun ini untuk membolehkan penjimatan RM400 juta selain membolehkan program itu dikaji semula dengan penambahbaikan.

Noor Ehsanuddin berkata perubahan modul program latihan dengan menyerapkan elemen-elemen baharu bukanlah kali pertama dibuat dan ia sebenarnya dilakukan setiap lima tahun cuma pada kali ini transformasi dan perubahan yang akan dilakukan itu lebih ketara dari segi struktur.

Mengulas cadangan pembatalan modul penggunaan senjata api M16 dalam PLKN, Noor Ehsanuddin berkata ia akan dilihat semula dan belum dimuktamadkan lagi.

"Apabila kita cakap tentang modul-modul kursus untuk memupuk semangat patriotisme, tidaklah tertumpu khusus kepada penggunaan senjata sebaliknya lebih kepada kefahaman mengenai sejarah dan sebagainya.

"Dari sudut penglibatan tentera kita mahukan kepakaran tentera dalam melatih para pelatih ini untuk diterapkan dengan disiplin melalui kawad, pembinaan jati diri, kekuatan mental dan fizikal serta elemen-elemen lasak yang lain," katanya.

Noor Ehsanuddin turut menafikan dakwaan kononnya modul PLKN sebelum ini gagal mencapai objektif khususnya dalam soal perpaduan kaum sebaliknya menegaskan pelatih-pelatih PLKN yang pernah menjalani latihan rata-ratanya mempunyai hubungan perpaduan yang baik.

"Cuma mungkin peluang yang dapat pergi itu tidak ramai, contohnya kalau setahun seramai 500,000 pelajar menamatkan persekolahan tetapi yang dapat mengikuti program hanya 90,000, tentulah yang dapat ikuti program sahaja yang tahu kebaikan dan impaknya," katanya.

Mengenai cara pengambilan pelatih bagi sesi latihan akan datang, katanya cara pengambilan adalah secara rawak dan sukarela.

"Kami ambil secara rawak dan sukarela, tidak timbul isu kami ambil pelajar yang lemah akademik... dan kami rancang dalam tahun 2020 pengambilan akan dibuat secara sukarela tetapi belum dimuktamadkan lagi," katanya.-- Bernama


PLKN, vokasional

Artikel Lain