KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan orang ramai sekali lagi mengenai ancaman denggi dengan menasihatkan mereka yang mengalami gejala demam denggi supaya segera melakukan pemeriksaan di klinik atau hospital. Melalui catatan terbaharu dalam laman Twitter dan Facebooknya, perdana menteri berkata menurut laporan Kementerian Kesihatan, bilangan kes denggi kini semakin meningkat. "Sekiranya anda atau kenalan mengalami gejala denggi, segera ke klinik kesihatan atau hospital berhampiran untuk rawatan," katanya. Ini kali ketiga tahun ini, beliau memuatkan peringatan ini dalam Twitternya , yang pertama pada 17 Feb dan kedua pada 5 Mac. Beliau turut memuatkan satu imej yang memaparkan antara tanda-tanda dan gejala demam denggi seperti sakit kepala, demam panas, sakit di belakang mata, pendarahan ringan (di gusi, hidung atau bawah kulit), sakit badan, ruam kulit, cirit-birit dan muntah-muntah, sebagai panduan. Dalam tempoh setengah jam beliau memuat naik imej itu dalam Facebook, beliau memperoleh lebih 150 perkongsian (share) dengan 1,120 'likes', manakala lebih 160 'retweets' dibuat dalam Twitter. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata dalam laporan akhbar pada 12 Jun, bahawa bagi tempoh Januari hingga 6 Jun lepas, sebanyak 144 kematian akibat denggi direkodkan berbanding 72 kes untuk tempoh sama pada 2014.-- Bernama