KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) diminta membuat kaji selidik keberkesanan pelbagai bentuk sumbangan, termasuk zakat, daripada Maips kepada fakir miskin. Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah kaji selidik amat penting untuk mengetahui sumbangan yang diberi setiap tahun itu benar-benar dapat meningkatkan pendapatan penerima atau mengubah kehidupan mereka. "Matlamat bantuan adalah untuk mengeluarkan golongan miskin yang layak daripada kepompong kemiskinan. Beta berasa kecewa jika mereka berterusan mengharapkan sumbangan Maips atau agensi lain," titah baginda pada majlis berbuka puasa anjuran Maips di Hotel Seri Malaysia di sini, Khamis malam. Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua Maips Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Tuanku Syed Sirajuddin bertitah: "Beta berpendapat lebih baik memberi kail daripada memberi ikan supaya mereka berupaya berusaha sehingga mampu berdikari dan menanggung keluarga sendiri." Titah baginda sumbangan zakat yang diterima Maips meningkat setiap tahun dan agihan juga diperluaskan merangkumi bidang pendidikan namun langkah proaktif untuk memperkasakan lagi program Maips tidak boleh diabaikan. Bersempena majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menganugerahkan surat tauliah ahli Maips yang baharu kepada Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail selain surat penghargaan kepada beberapa bekas ahli majlis, antaranya bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron. Baginda turut menunaikan solat maghrib dan sunat tarawih bersama hadirin yang diimamkan Pengurus Baitulmal Maips Mohd Nazim Noor.-- Bernama