NEW DELHI: Ketika umat Islam di seluruh dunia menghayati bulan penuh keberkatan, Ramadan, kemeriahannya turut dirasai di ibu negara India ini, dengan para peniaga menjual beraneka jenis makanan tempatan, termasuk 'semiya' (hidangan bihun), untuk berbuka puasa. Sejak seminggu lepas, umat Islam saling berkongsi maklumat melalui media sosial, termasuk tempat untuk menjamu selera dan resipi bagi hidangan yang akan disajikan untuk berbuka puasa. Bagaimanapun, bagi kebanyakan umat Islam di sini, mereka lebih gemar berbuka puasa di rumah bersama keluarga daripada mengunjungi restoran. Di pasar berhampiran masjid yang dibina pada abad ke-18 dan menjadi ikon bagi 'Old Delhi', kini muncul beratus gerai menjual pelbagai hidangan, termasuk yang hanya menjual 'semiya'. Menurut seorang penduduk Islam yang hanya mahu dikenali sebagai 'Rohit', semiya lazimnya disajikan semasa Ramadan (disebut Ramzan di sini), dan dimakan ketika bersahur. "Mudah sahaja untuk menyediakannya, hanya rendam bihun ke dalam susu segar yang dicampur gula. Rasanya sungguh lazat. "Ia juga boleh digoreng dengan gula dan dihidangkan sebagai makanan pencuci mulut," katanya. Menurut peniaga, 'semiya' buatan tempatan lebih murah berbanding yang dibawa dari Hyderabad dan Ahmedabad kerana keistimewaannya. Semiya tempatan berharga 50 hingga 80 rupee (RM3 hingga RM5) sekilogram, manakala semiya berkualiti berharga kira-kira 150 rupee sekilogram (kira-kira RM8). Semiya panggang juga popular dalam kalangan penduduk tempatan dan menurut peniaga, semiya panggangg memang menjadi rebutan ramai, walaupun harganya lebih mahal. Seorang peniaga berkata sejak beberapa hari lepas, dia menjual 50kg hingga 100kg semiya sehari dan jumlah ini dijangka meningkat sekali ganda beberapa hari lagi. "Semiya adalah makanan popular kerana ia boleh disediakan dalam pelbagai cara serta menjadi kegemaran kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah," katanya. Berdasarkan banci terbaharu, India mempunyai 180 juta penduduk Islam atau 14.88 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini, yang majoritinya beragama Hindu. "Bulan Ramzan ini sangat suci dan penting bagi umat Islam kerana ia bukan sahaja bulan untuk diraikan bersama keluarga dan sahabat handai, tetapi juga untuk mengingatkan mereka tentang penderitaan serta kesulitan yang dialami golongan miskin dan kurang bernasib baik, terutama di negara yang masih dibelenggu peperangan dan sengketa," kata seorang imam Masjid Jama.-- Bernama