suria

Rezeki Peniaga Gerai Makin 'Lebat' Sepanjang Ramadan

Gerai sentiasa menjadi tumpuan ramai waktu berbuka puasa dan bersahur sepanjang Ramadan.

PETALING JAYA: Menjelang tibanya Ramadan, pastinya warung dan gerai menjadi salah satu lokasi tumpuan umat Islam negara ini untuk berbuka puasa dan juga bersahur.

Walaupun tidak selalu, iftar di luar menjadi pilihan ramai terutama bagi yang berkeluarga selepas seharian membeli-belah keperluan untuk sambutan Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun, tentunya ia amalan biasa bagi yang bujang, sama ada lelaki mahupun wanita.

Pemilik Restoran Along Western and Thai Cuisine, Khairil Fiqri Bakri berkata, beliau sememangnya menanti-nantikan kedatangan Ramadan setiap tahun.

"Macam biasa, sememangnya Ramadan antara bulan yang dinantikan  kerana biasanya pendapatan boleh meningkat dua kali ganda.

"Bukan itu sahaja, saya juga mempunyai pelanggan tetap yang memang setiap tahun akan datang berbuka puasa dan bersahur," kata usahawan ini.

Bercerita mengenai pengalaman menguruskan restoran ketika puasa, pemuda berusia 21 tahun ini berkata, ia sesuatu yang menggembirakan terutama kerana mampu mendapat keuntungan yang lebih banyak.

"Secara jujur, pendapatan yang diperoleh memberangsangkan dan saya berpuas hati, malahan ramai yang memberi maklum balas baik apabila ditanya mengenai makanan serta perkhidmatan yang disediakan.

"Sebelum ini restoran saya cuma dibuka pada pukul 3 petang sehinggalah 2 pagi namun sepanjang Ramadan, waktu beroperasi diubah kepada antara 5 petang sehingga 5 pagi setiap hari," jelasnya yang berpindah ke Puchong, Ramadan ini.

Ditanya mengenai waktu puncak pelanggan akan datang ke restorannya, Khairil berkata, gerainya mulai dikunjungi pelanggan selepas tamat waktu kerja sama ada bagi penjawat awam atau swasta, serta selepas menunaikan ibadah terawih.

"Selalunya, selepas pukul 5 petang dah mula ada pelanggan kerana mereka balik dari kerja dan tidak sempat sediakan juadah berbuka di rumah, manakala waktu puncak untuk bersahur antara 11 malam hingga pukul 3 pagi," katanya.

Mengenai jenis makanan yang menjadi tumpuan untuk berbuka puasa serta bersahur pula, katanya pelanggannya gemarkan masakan berasaskan nasi dan makanan yang digoreng.

"Ada juga yang suka sup ekor, nasi goreng, ikan siakap masak tiga rasa dan sebagainya," jelasnya yang turut menyediakan hidangan barat.

Katanya, chicken chop atau makanan laut juga menjadi pilihan pelanggannya termasuk kanak-kanak, malahan harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Artikel Lain