suria

Ketupat Gergasi Sambut Pengunjung Suria KLCC Sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Menjelang Aidilfitri dua minggu lagi, replika ketupat gergasi seberat 10,000 kilogram (kg) menyambut kedatangan pengunjung ke pusat beli belah terkemuka di ibu negara, Suria KLCC bagi memeriahkan musim perayaan ini.

Lebih menarik lagi apabila rekaan menarik berukuran panjang 12 meter dan selebar 9.8 meter ini disenaraikan dalam Malaysia Book Of Record sebagai replika ketupat terbesar di Malaysia.

Pengerusi Suria KLCC Sdn Bhd, Datuk Hashim Wahir berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan sesuatu yang baharu dan berlainan bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.

"Kami membina replika ketupat terbesar di Malaysia untuk melahirkan keseronokan di kalangan rakyat Malaysia serta pelancong luar negara," katanya semasa majlis perasmian di sini yang turut meraikan anak-anak yatim Pondok Penyayang Raudhah.

Replika ketupat itu dihiasi dua lagi replika ketupat kecil dan ditempatkan di Esplanade KLCC yang terletak di luar menara berkembar itu.

Datuk Bandar Kuala lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, amalan Suria KLCC dalam menyediakan dekorasi bagi setiap perayaan memberi peluang kepada pelancong luar untuk mengenali dan memahami perayaan dan kebudayaan di Malaysia.

"Selain mempertontonkan hiasan yang indah,  Suria KLCC turut mendidik pengunjung mengenai keistimewaan setiap perayaan di negara yang berbilang kaum ini, " katanya.

Dalam pada itu, seramai 39 anak-anak yatim turut diraikan pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Imperial Chakri Palace. 

Pihak Suria KLCC juga menyumbangkan baucar membeli belah bernilai RM200 kepada setiap anak-anak yatim sempena Aidilfitri ini.

Sementara itu, Penyelia Pondok Penyayang Raudhah, Wan Razmi Wan Othman berkata, majlis itu adalah kali pertama anak-anak yatim berkenaan diraikan oleh pusat beli belah itu.

"Kami terharu kerana pihak Suria KLCC sudi meraikan anak-anak yatim ini dan mereka telah membuat perancangan teratur untuk memastikan program ini berjalan lancar," katanya sambil menambah beliau dimaklumkan mengenai jemputan itu tiga bulan lebih awal.

Ketupat Gergasi, KLCC

Artikel Lain