suria

Adakah LHDN Memilih Dalam Siasatan? - Tun M

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan adakah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersikap memilih dalam menjalankan siasatannya.

"Pegawai cukai sering memantau orang yang hidup di luar kemampuan mereka.

"Mereka (LHDN) sepatutnya mengadakan serbuan terhadap golongan berkenaan dan mengarahkan untuk membayar lebihan cukai yang dirasakan perlu dibayar berdasarkan kekayaan itu.

"Tetapi sejak kebelakangan ini menunjukkan terdapat tumpuan terpilih terhadap pihak yang perlu membayar cukai," katanya menerusi kenyataan terbaharu di blognya, chedet.cc pada Jumaat.

Dr Mahathir mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli perniagaan, Jho Low masih belum disiasat oleh LHDN.

"Bila Pejabat Perdana Menteri mendakwa ia merupakan harta pusaka, adik-beradik Najib membantah.

"Ayah mereka tidak kaya dan tidak meninggalkan ratusan jutaan Ringgit kepada keluarga. Malah Najib perlu mengakui bahawa Tun Razak tidak mempunyai banyak wang untuk diberikan kepada keluarganya.

"Jadi, dari mana datang semua wang itu?" soalnya.

Dr Mahathir menggesa LHDN perlu bersikap adil dalam penyiasatannya.

"Kita bercakap mengenai mengenai kesamaan dari segi undang-undang. Di negara tertakluk kepada undang-undang tertentu malah begitu juga dengan raja-raja. Ia merupakan intipati keadilan.

"Kita perlu sama dari segi undang-undang dan kita mesti dilihat sama rata.

"Semua orang yang sepatutnya disiasat oleh agensi kerajaan mesti dikena siasatan. Tidak sepatutnya ada diskriminasi," katanya.

Najib Tun Razak, Dr Mahathir, LHDN

Artikel Lain