suria

Ahmad Maslan Sedih Dengan Fitnah Dilemparkan Terhadapnya

SETIU: Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan pada Jumaat meluahkan rasa sedih dan kecewa atas segala tohmahan jahat serta fitnah terhadapnya yang kini menjadi viral di laman-laman sosial terutama dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya pihak tidak bertanggungjawab turut memfitnah beliau dengan membuka akaun palsu di laman sosial seperti Facebook (FB), Twitter dan sebagainya konon kesemua akaun itu miliknya.

Ahmad berkata beliau tidak pernah memiliki akaun seperti yang tersebar luas dengan memetik kenyataannya yang tidak lengkap sehingga menimbulkan kekeliruan selain kemarahan orang ramai terhadapnya.

"Fitnah ini besar dosanya apatah lagi dalam bulan Ramadan. Mereka ini terus buat fitnah, mereka buat akaun palsu, FB dan twitter saya, walhal saya tak ada akaun-akaun dan menyatakan kenyataan-kenyataan itu (yang sebenarnya palsu).

"Kadang-kadang kenyataan saya diambil satu patah daripada sejuta patah perkataan. Sebagai contoh apabila saya pergi UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan bertemu lebih kurang 2,000 pelajar dan menjelaskan tentang GST selama dua jam 45 minit.

"Yang dipusing media pembangkang saya cadangkan pelajar memasak sendiri di asrama yang kemudiannya saya jadi sasaran dengan menyebut saya bodoh dan sebagainya.

"Saya ada sebut kalau kita masak sendiri seperti di luar kampus, bahan-bahan utama untuk kita masak itu kosong GST, adalah saya sebut sebaris tapi telah dipusing bahawa saya suruh pelajar masak kat asrama," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita sebelum sesi dialog isu semasa bersama kepimpinan UMNO Bahagian Setiu di sini yang turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO Terengganu Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Ahmad berkata sempena kemuliaan bulan Ramadan ini selain menjelang Syawal nanti, beliau sedia memaafkan pihak terbabit yang memutarbelitkan kenyataannya sehingga menjadi viral.

"Tetapi, jangan hina arwah ayah dan ibu saya, itu jangan buat dan jangan memfitnah saya, kalau saya tak sebut perkataan itu, janganlah direka-reka kononnya saya sebut, itu fitnah namanya," katanya sambil menggesa pihak tidak bertanggungjawab itu segera berhenti memfitnahnya.

Beliau yang juga anggota Parlimen Pontian turut tidak menafikan tindakannya tampil memberi penerangan mengenai isu GST dan sebagainya bagi mempertahankan kerajaan, namun malangnya telah menjadi mangsa sasaran pembangkang.

Katanya pembangkang bertindak sedemikian setelah mereka kehilangan punca setelah GST kini semakin stabil dan atas sebab itu mereka memburuk-burukkan keperibadian seseorang dengan menabur fitnah.

Ahmad Maslan, GST

Artikel Lain