suria

Ancaman Runtuhan Jejaskan Kerja Baik Pulih Di Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU: Datuk Masidi Manjun menegaskan ancaman runtuhan menjejaskan proses kerja pembaikan di Gunung Kinabalu dan kawasan sekitarnya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu berkata, kebanyakan bongkah batu di sepanjang Gunung Kinabalu dan yang hanyut dibawa arus sungai selepas kejadian gempa bumi pada 5 Jun lalu masih tidak stabil.

"Kebimbangan utama kita adalah bagaimana kita boleh mengelak bongkah terutamanya yang tersekat di sepanjang laluan 6.3km ke 6.8km (Laban Rata dan Puncak Dataran Tertinggi) yang terjejas teruk," katanya.

Beliau berkata gempa bumi susulan masih berlaku menjadikan jumlah gegaran yang direkodkan kepada lebih 100 sehingga 1 Julai ini.

"Gunung tersebut kini berubah wajah, memerlukan masa selama sebulan atau dua atau lebih lama untuk stabil. Sehingga itu, segalanya di puncak di sepanjang laluan berdepan risiko untuk berlaku runtuhan semula," kata Masidi.

Namun, mereka berharap untuk membuka semula Gunung Kinabalu kepada bilangan pendaki yang terhad pada September nanti sekiranya gegaran berhenti sepenuhnya dan laluan baharu dibina.

"Keutamaan kami adalah untuk menjamin keselamatan pendaki dan tidak adil untuk memaksa pembukaan semula seperti tarikh yang dirancang jika gegaran tidak berhenti pada masa itu," katanya.

Beliau berkata gunung tersebut bukan masalah utama kerana sungai, ladang dan kampung turut terjejas akibat banjir lumpur yang berlaku kira-kira seminggu selepas gempa bumi itu.

"Orang yang tinggal di sepanjang tebing sungai juga berdepan risiko dibawa arus jika berlaku banjir lumpur susulan kerana air sungai kini lebih 'deras'," katanya.


Artikel Lain