suria

Semua Pelawat Harus Patuhi Etika Pakaian - Mindef

Gambar hiasan.
PETALING JAYA:  Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan kod etika berpakaian untuk memasuki premis kementerian itu tidak hanya dikuatkuasakan terhadap wartawan malah melibatkan semua pelawat.

Menurut kementerian tersebut, dalam menguatkuasakan etika berpakaian, semua pelawat diwajibkan untuk memakai pakaian sopan dan menutup aurat.

Antara pakaian yang dibenarkan adalah baju berkolar dan berlengan, seluar panjang dan skirt di bawah paras lutut.

"Jika pelawat tidak mematuhi kod etika pemakaian yang sudah ditetapkan, pelawat tidak akan dibenarkan untuk memasuki premis kementerian tersebut," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat kementerian itu pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan akhbar The Star yang dibangkitkan salah seorang wartawannya semasa menghadiri Majlis Penyampaian Bungkusan Hari Raya kepada Angkatan Tentera Malaysia pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, wartawan tersebut telah memakai skirt di atas paras lutut dan ia jelas melanggar etika berpakaian yang ditetapkan.

Malah, kementerian tersebut turut mempertahankan tindakan petugas di kaunter Balai Pengawal Kementerian Pertahanan yang tidak membenarkan wartawan tersebut untuk memasuki premis kementerian.

"Petugas itu hanya menjalankan tugas sebagaimana yang telah diarahkan. Malahan gambar tentang etika berpakaian pelawat ke kementerian ini turut dipamerkan di balai pengawal tersebut," katanya.

Kementerian Pertahan turut menegaskan isu etika pakaian yang dibangkitkan itu juga bukan perkara baharu kerana peraturan tersebut sudah dikuatkuasakan sekian lama.

"Justeru, kami meminta kerjasama daripada semua pihak termasuk pengamal media untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.



Mindef, etika berpakaian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain