KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah yang disyaki ketamin bernilai RM296 juta dan menahan dua lelaki termasuk seorang warga India dalam dua serbuan, di Jinjang dan Rawang sejak Khamis. Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata hasil risikan dan siasatan sejak sebulan lepas, polis memberkas kedua-dua suspek berusia 36 dan 42 tahun itu selain merampas sejumlah 19,230 kg dadah jenis ketamin dalam serbuan itu. "Dalam serbuan 5 petang semalam, seorang lelaki warga India berusia 36 tahun ditahan di tepi Jalan Jambu, Taman Sri Delima di Jinjang setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan. "Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menjumpai dua beg plastik di dalamnya terdapat dua paket plastik lutsinar mengandungi serbuk warna putih. Kedua-dua plastik itu berjumlah 10kg dadah disyaki ketamin," katanya pada sidang media, di sini Jumaat. Munusamy berkata hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa pasukan polis kepada serbuan kedua di sebuah rumah yang dijadikan stor tempat menyimpan barang di Jalan Amansiara, Rawang, malam Khamis. "Selepas intipan selama beberapa jam, suspek kedua ditahan pukul 6 pagi tadi iaitu seorang warga tempatan berusia 42 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan dan juga seorang ahli perniagaan. "Turut dirampas dalam serbuan itu, sejumlah 762 guni plastik mengandungi bahan-bahan memproses dadah disyaki ketamin berjumlah 19,050 kg dan 34 paket plastik dadah itu berjumlah 170kg di stor berkenaan," katanya. Ketika ditanya mengenai rekod warga India itu, Munusamy berkata setakat ini pihaknya masih menyiasat bila dan bagaimana dadah itu dibawa suspek ke negara ini. "Polis percaya mungkin ada satu atau dua lagi tangkapan selepas ini," katanya sambil menambah kesemua dadah itu dipercayai untuk pasaran dalam negara.