suria

Agensi PBB Berpandangan Positif Persidangan Kuala Lumpur Mengenai Pelarian

NEW YORK: Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian mempunyai pandangan positif pertama tentang persidangan Asia Tenggara yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2 Julai lepas berhubung pemerdagangan pelarian Rohingya dan pendatang tanpa izin dari Bangladesh yang terkandas di lautan pada Mei tahun ini.

Dalam reaksi pertamanya, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian (UNHCR) menyambut baik cadangan oleh Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas dan kumpulan wang amanah sebagai responds terhadap pergerakan yang 'tidak menentu' pelarian dan pendatang dalam rantau ini.

Menurut UNHCR, Mesyuarat Tergempar Menteri-Menteri Asean, berhubung 'Jenayah Transnasional Mengenai Pergerakan Orang yang tidak teratur di Asia Tenggara', membuat cadangan bagaimana untuk bertindak balas terhadap 'krisis bot' yang melibatkan ribuan pelarian Rohingya dan pendatang warga Bangladesh yang terperangkap di lautan.

Krisis berkenaan telah menjurus kepada aktiviti diplomatik yang amat mendesak di ibu pejabat PBB dengan UNHCR membuat usaha terburu-buru untuk mengawal keadaan.

Mesyuarat di Kuala Lumpur adalah yang terbaharu dalam siri mesyuarat serantau untuk memberi maklum balas mengenai isu pelarian dan pendatang di Asia Tenggara yang banyak dibincang dan diberikan publisiti meluas.Menurut sumber-sumber PBB, lebih 4,800 pendatang telah dibenarkan mendarat di Bangladesh, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Thailand.

Namun, beratus-ratus dilaporkan masih hilang atau tidak dapat dikesan walaupun masih ramai telah mendarat secara senyap-senyap sejak beberapa minggu lepas.

Wakil dan Penyelaras Serantau UNCHR bagi Asia Tenggara James Lynch berkata  bahawa "kita menyokong penuh penguatkuasaan undang-undang terhadap penyeludupan dan pengedaran".

"Keselamatan sempadan perlu diperkukuh di samping melindungi hak manusia,  termasuk pelarian. Kita perlu memastikan mangsa menerima bantuan segera dan perlindungan serta alternatif daripada ditahan bagi orang-orang yang memohon suaka, terutamanya kanak-kanak," katanya sebagaimana dilaporkan, menurut sumber PBB.

UNHCR juga telah menawarkan untuk membantu dalam apa jua cara dan memberi penekanan mengenai kesediaannya untuk berkongsi kepakaran teknikal dalam tapisan dan menyelesaikan masalah pelarian serta membantu menggerakkan sokongan terhadap usaha-usaha terpuji Asean dalam menangani cabaran serantau ini.

Terdahulu, sebelum mesyuarat di Kuala Lumpur bermula, beberapa pegawai PBB telah menggesa negara-negara Asia Tenggara untuk menyokong apa yang mereka digambarkan sebagai pendekatan 'mesra rakyat' penghijrahan dengan mengambil langkah seperti memperluaskan laluan untuk migrasi yang selamat di samping memperketatkan penguatkuasaan undang-undang untuk menghentikan penyeludupan manusia.

Ketika menyambut baik mesyuarat tergempar Asean yang diadakan pada 2 Julai bagi membincangkan pendekatan mesra rakyat bagi menangani isu penghijrahan yang tidak teratur di Teluk Benggala dan Laut Andaman, pegawai berkenaan juga menyeru satu penyelesaian yang komprehensif dan kukuh dalam isu berkenaan.

"Mesyuarat berkenaan menyediakan satu peluang yang tepat pada masanya untuk bergerak ke hadapan dalam menghasilkan penyelesaian yang komprehensif dan kukuh  ...selaras dengan semangat perpaduan dan solidariti Asean yang berpaksikan rakyat," menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada malam mesyuarat berkenaan.

Kenyataan itu dikelaurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian dan Hak Asasi Manusia, Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), Wakil Khas PBB mengenai Migrasi dan Pembangunan Antarabangsa dan Pengarah Eksekutif Global pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Di sebalik perkembangan baru-baru ini, beberapa tugas penting yang masih perlu ditangani seperti memberi akses kepada agensi-agensi kebangsaan dan antarabangsa untuk mendapatkan pelarian dan pendatang berbanding melalui tahanan imigresen, menurut kenyataan itu.

"Kami menggesa negara-negara (Asia Tenggara) untuk melaksanakan usaha-usaha yang berterusan untuk mengembangkan saluran untuk migrasi yang selamat dan mengikut undang-undang," menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa ia  termasuk 'untuk penyatuan semula keluarga dan penghijrahan buruh pada semua peringkat kemahiran di samping meningkatkan penguatkuasaan undang-undang".

Kenyataan bersama itu juga, mennyeru negera-negara berkenaan untuk melaksanakan cadangan UNODC dalam rangkaian pelabuhan dan lintasan sempadan untuk operasi berkongsi maklumat dan menambah baik dasar dengan komitmen terhadap Konvensyen PBB mengenai Jenayah Terancang Transnasional.

Sambil menegaskan bahawa penciptaan mekanisme yang berterusan adalah kunci kepada sokongan antarabangsa bagi negera-negara terlibat, pegawai-pegawai PBB itu berkata pasukan petugas itu perlu menjamin hak semua pendatang dan pelarian, ketika berucap mengenai punca dan asal usul gerakan pasukan itu.

Keadaan pelarian dan pendatang yang mendesak itu telah menjadi apa yang disifatkan secara peribadi oleh diplomat PBB semasa berbual dengan Bernama sebagai 'isu yang hangat buat masa kini'.

Selain membincangkan mengenai nasib pelarian dan pendatang yang dieksploitasi ia juga penting sebagaimana diperkatakan ramai untuk menghentikan operasi kumpulan-kumpulan penyeludup yang tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi mangsa.

Malah, bukan sahaja di Asia Tenggara yang sedang mengalami gelombang pelarian; bot-bot yang yang dipenuhi pendatang dari Syria, Afrika Utara dan negara-negara lain juga tiba di pantai Eropah, menggunakan pantai Itali sebagai pintu masuk.

Perkara ini juga telah dibincangkan secara bersungguh-sungguh dalam kalangan negara Kesatuan Eropah yang berusaha menangani isu berkenaan.-- Bernama


PBB, pelarian, UNHCR, Asean

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain