suria

Imigresen Banteras Pencerobohan Ke Singapura Menerusi Lorong Tikus

JOHOR BARU: Jabatan Imigresen akan memantapkan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan keluar secara haram dari sempadan Malaysia-Singapura di Johor Baharu yang dikesan menjadikan laluan keretapi sebagai lorong tikus.

Ketua Pengarahnya Datuk Mustafa Ibrahim berkata setakat ini pihaknya telah melakukan beberapa serbuan dan menahan 54 individu yang cuba menyusup keluar melalui landasan kereta api Johor Baharu-Singapura untuk ke tempat kerja di republik berkenaan.

"Buat masa ini, kita ambil langkah pencegahan bagi memberi pengajaran, namun, tindakan tegas akan dikenakan selepas ini supaya orang ramai tidak mengambil jalan mudah," katanya.

Mustafa berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerapan nilai murni dan pengagihan juadah berbuka di laluan bas Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, malam Sabtu.

Beliau berkata dalam beberapa siri serbuan dua hari lepas, tiga individu ditahan kerana menggunakan jalan pintas untuk ke seberang tambak.

Katanya walaupun statistik tangkapan semakin menunjukkan penurunan, pengawasan dan penguatkuasaan di kawasan dipercayai sering digunakan sebagai laluan haram itu akan terus dipertingkat.

"Kita akan bincang dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai masalah ini termasuk untuk menutup laluan tikus itu. Kita belum kenal pasti pemilik tanah di kawasan tersebut," katanya.

Sementara itu, mengenai program penerapan nilai murni berkenaan, Mustafa berkata ia julung kali diadakan di BSI kerana sebelum ini ia diadakan di ibu pejabat Imigresen.

Katanya, program berkenaan dapat mendekatkan hubungan antara pengurusan tertinggi dan kakitangan imigresen.


Imigresen, lorong tikus, Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Lain