suria

Pegawai Perubatan, Jururawat Terselamat Kereta Dihempap Pokok

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai perubatan dan seorang jururawat nyaris maut selepas kereta masing-masing dihempap pokok dalam kejadian ribut kencang berserta hujan lebat berhampiran medan selera Batu Buruk, di sini petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu mengakibatkan kereta Perodua Myvi dipandu jururawat Siti Zulaikha Abd Aziz remuk teruk, manakala kereta Honda City dipandu pegawai perubatan Klinik Kesihatan Marang Elyas Ahmad rosak di bahagian hadapan akibat ditimpa pokok rhu.

Siti Zulaikha, 23, yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) ketika ditemui pada Sabtu, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan bagi menemui rakannya untuk berbuka puasa di medan selera Pantai Batu Buruk.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata dia berjaya keluar dari kenderaannya dengan bantuan orang ramai dan hanya mengalami kecederaan ringan biarpun sebahagian bumbung kenderaannya remuk dihempap batang pokok rhu itu.

Elyas, 28, pula berkata ketika kejadian dia sedang memandu untuk pulang ke rumah di Batu Buruk selepas membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan berhampiran.

"Sebaik tiba di hadapan medan selera itu, ribut melanda dan sebahagian dahan pokok rhu terus tumbang ke atas cermin hadapan kereta saya serta saya lihat batang pokok itu menghempap bahagian tengah kereta Myvi (dipandu Siti Zulaikha)di hadapan saya.

"Saya sangat terkejut, saya terus meluru keluar dan dengan pertolongan orang ramai berhampiran, kami berjaya mengopak pintu kereta Myvi tersebut untuk menyelamatkan perempuan itu," katanya.

Ribut yang melanda kira-kira 45 minit sebelum berbuka puasa itu juga mengakibatkan beberapa batang pokok di sekitar di bandaraya ini tumbang.

Artikel Lain