KUALA LUMPUR: Terpedaya dengan pujuk rayu seorang kenalan 'bangsa asing' di laman sosial Facebook, seorang ibu tunggal kerugian RM8,700 selepas menjadi mangsa 'Internet Scam' bulan lalu. Kam Lee Lye, 38, seorang pengurus jualan di Gombak telah memasukkan jumlah wang itu ke dalam akaun rakan di laman sosialnya yang hanya dikenali sebagai 'Richard Harry'. Menurutnya, 'Richard' mendesaknya memasukkan wang ke dalam akaun miliknya beberapa kali dan dia telah empat kali memasukkan wang ke dalam akaun 'Richard iaitu kali pertama RM2,200, kali kedua RM3,000 kali ketiga RM2,500 dan kali keempat RM1,000. "Dia memaksa saya memasukkan wang atas pelbagai alasan seperti untuk mendapatkan sijil simpanan tetap di Alliance Bank Malaysia Berhad, untuk tujuan 'yuran endorsemen' dan membeli tiket penerbangan. "Apabila saya enggan (setelah menyedari dirinya ditipu), dia telah mengeluarkan kata-kata kesat," katanya pada sidang media di pejabat pengurusan Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah di Bandar Baru Ampang di sini hari ini. Katanya, dia mengenali 'Richard' pada 20 Mei lalu setelah 'Richard' yang mendakwa sebagai seorang warga 'Amerika Syarikat' telah menghantar jemputan untuk menjadi rakannya di laman sosial Facebook. Namun begitu Kam tidak pernah menemui 'Richard' dan setelah berbual mesra melalui telefon bimbit pada 24 Jun lalu, 'Richard' telah memulakan lakonannya dan ingin meminjam wang daripadanya. "Richard hanya memberitahu umurnya 49 tahun dan bekerja di sebuah pelantar minyak di Sarawak, dia juga menggunakan gambar palsu di Facebook. "Saya telah membuat laporan polis pada 3 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang agar 'Richard' dapat diberkas dengan segera, buat masa ini saya masih berhubung dengannya seperti biasa," katanya. Sementara itu, Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Prof Datuk Saharuddin Awang Yahya berkata sebanyak 10 kes telah diterimanya dalam enam bulan pertama tahun ini melibatkan penipuan 'Internet Scam'.