suria

Polis Tinggalkan Pejabat 1MDB, Selesai Siasatan Hari Ini

KUALA LUMPUR: Polis dan anggota Pasukan Petugas Khas dilihat meninggalkan pejabat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Jalan Sultan Ismail sambil memberitahu tugas mereka selesai untuk hari ini.

Beberapa pegawai berpakaian biasa yang dipercayai anggota polis meninggalkan Menara IMC kira-kira pukul 6.20 petang dengan membawa sebuah CPU komputer dan sebuah kotak.

Ia dipercayai mengandungi dokumen yang diambil dari pejabat 1MDB.

Apabila ditanya pemberita sama ada mereka sudah menyiapkan siasatan, seorang daripada anggota polis itu berkata: "Sudah selesai untuk hari ini."

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata serbuan dan penyiasatan telah dijalankan secara teliti dan profesional.

"Pasukan petugas yang terdiri daripada pegawai-pegawai polis dan SPRM tiba pagi ini di pada pukul 9.40 pagi. Kami memberikan kerjasama penuh kepada pasukan petugas itu.

"Seperti yang anda tahu, perkara ini sedang disiasat. 1MDB sudah mengeluarkan kenyataan sebelum ini mengenai perkara tersebut, jadi kita tidak mempunyai apa-apa maklumat untuk ditambah," katanya kepada pemberita.

Ditanya sama ada lebih banyak serbuan akan dibuat, beliau berkata: "Saya fikir perkara itu adalah kuasa pihak berkuasa untuk membuat keputusan. Tapi setakat hari ini siasatan telah siap. Namun seperti yang saya katakan tadi ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan."

Serbuan ke pejabat syarikat pelaburan milik kerajaan itu bermula sebelum pukul 10 pagi, Rabu.

1MDB, Arul Kanda Kandasamy

Artikel Lain