KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi yang ditembak mati di Bukit Bintang pada Julai 2013 tidak mempunyai kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Beliau yang menafikan dakwaan itu berkata, ia disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan susulan itu pihaknya menyiasat perkara tersebut. "Ia merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Mereka sengaja membuat berita tidak betul dan memfitnah. Kes pembunuhan Hussein Najadi tak ada kaitan dengan 1MDB, tak benar sama sekali. "Saya mengesahkan tidak ada laporan polis kononnya dibuat oleh Hussein Najadi sebelum dia dibunuh, berkenaan dengan kemasukan sejumlah wang. Perkara itu tidak berlaku," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 7/2015 sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, Rabu. Beliau berkata demikian mengenai dakwaan yang mengaitkan kes pembunuhan pengasas Ambank itu dengan 1MDB. Khalid berkata, siasatan sedang dijalankan terhadap sumber dakwaan itu dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu tersebut. Ditanya mengenai dakwaan yang dibuat oleh anak pengasas Ambak, Pascal Najadi, Khalid berkata: "Dia (Pascal) membuat dakwaan selepas membaca 'blog' itu. Jadi, bermakna ada orang lain yang membuat dakwaan itu." Pada Selasa, Pascal mendakwa terdapat banyak lagi yang berkaitan dengan pembunuhan bapanya. Turut dilaporkan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Selasa menggesa Khalid supaya membuka semula kes pembunuhan pengasas AmBank itu. "Pihak polis seharusnya menyiasat sama ada betul atau tidak bahawa pada Mac 2013, Hussein telah dilaporkan ke Bank Negara mengenai sejumlah besar wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib dan kemudiannya mengenai sejumlah besar wang yang dikeluarkan dari bank-bank tersebut; dan Hussein telah membuat laporan polis tentang perkara itu pada 28 Julai 2013 apabila tiada sebarang tindakan daripada Bank Negara," dakwa Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan. Jumaat lalu, Najib menyangkal laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke akaun peribadinya. Sementara itu, mengenai Op Selamat 7/2015 yang dilancarkan pada Rabu, Khalid berkata, operasi yang bertemakan 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi itu dilaksanakan selama 15 hari dari 10 Julai sehingga 24 Julai dengan objektif operasi untuk mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.