suria

Pertandingan Pelita Raya Diperluas Ke Daerah Setiu

KUALA TERENGGANU: Pertandingan Pelita Raya yang menjadi program pelancongan tahunan Kerajaan Terengganu sejak tahun 2009 diperluas ke Kampung Air Sejuk dan Kampung Panchur Merah, Setiu, pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, pada pertandingan kali ini, sebanyak 178 penyertaan direkodkan iaitu 72 rumah dari Kampung Air Sejuk dan 106 rumah dari Kampung Panchur Merah telah mengesahkan penyertaan.

"Pertandingan selama tiga hari itu bermula 10 Julai, menawarkan hadiah keseluruhan RM12,000 dan pemenang tempat pertama bakal menerima RM2,500; kedua RM2,000 manakala tempat ketiga RM1,500," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Pertandingan bertemakan 'TTB Kampungku Raya' itu juga untuk menghidupkan kembali tradisi budaya memasang pelita setiap kali menjelang Ramadan, sekali gus ia juga dapat memberi ruang kepada generasi muda sebagai pewaris budaya dan pelancong dalam dan luar negara melihat keunikan seni budaya warisan negeri Terengganu.

"Ia selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempromosi dan memperkenalkan pertandingan pelita raya dengan lebih meluas ke daerah-daerah lain dalam usaha menjadikan pertandingan tersebut sebagai satu daripada produk dan pakej pelancongan untuk dilihat oleh pelancong semasa Ramadan," katanya.

Untuk rekod, pertandingan Pelita Raya mula diperkenalkan pada peringkat kampung di DUN Tepuh bermula 2009 dan kemudiannya dikembangkan menjadi penganjuran yang lebih besar dengan penglibatan kampung-kampung berhampiran. -- Bernama

Pelita Raya, Jidin Shafee, Terengganu

Artikel Lain