PETALING JAYA: Ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal, Cadbury Malaysia dan Tourism Selangor tidak ketinggalan menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.
Berkolaborasi menerusi Program Sentuhan Kasih Lebaran 2015, seramai 50 kanak-kanak kurang bernasib baik diberi peluang untuk turut serta membeli belah keperluan raya dan diraikan dalam majlis berbuka puasa.
Setiap kanak-kanak diiringi oleh seorang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Cadbury Malaysia dan Tourism Selangor bagi membantu mengukur, membawa dan membeli pakaian hari raya dan aksesori pilihan mereka.
Ketua Hal Ehwal Korporat Mondelez Malaysia, Raja Zalina Raja Safran berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
"Kami benar-benar bangga dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan kakitangan dengan menyertai inisiatif murni ini. Ia memberikan satu kepuasan apabila kami berpeluang menyumbang bagi menambahkan keceriaan perayaan kepada kanak-kanak ini," katanya.
Selain itu menurut Raja Zalina, Mondelez Malaysia sebagai pemilik dan peneraju antara jenama kegemaran dunia seperti Oreo, Cadbury Dairy Milk, Tiger Biskuat, Jacob's, Chipsmore, Choclairs dan Twisties akan terus meningkatkan dan menghulurkan bantuan bagi kesejahteraan masyarakat tempatan melalui tenaga kerja dan projek perkongsian komuniti.