KUALA KANGSAR: Operasi kereta api laju Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) antara Padang Besar ke Kuala Lumpur akan dimulakan pada Jumaat ini. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kereta api tersebut akan berulang alik dua kali sehari dan tambang yang dikenakan dari Kuala Lumpur Ke Padang Besar adalah sebanyak RM81. "Kita hanya memiliki 10 kereta api ketika ini dan apabila jumlahnya meningkat, kekerapan ulang-alik akan bertambah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ujian salah satu jenama baru kereta api dari Batu Gajah ke Kuala Kangsar pada Khamis. Sebelum itu, Liow melakukan lawatan kerja ke kilang CRRC Rolling Stock Center Malaysia (CRM), yang sebelum ini dikenali sebagai CSR Rolling Stock Center Malaysia yang bertanggungjawab menghasilkan tren baharu. Liow berkata, perkhidmatan itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM81 dan mengambil masa selama empat jam 45 minit untuk sampai ke destinasi. "Kita telah mendapat kelulusan daripada SPAD untuk melakukan perkhidmatan ini. Masanya akan diumumkan nanti oleh pihak KTMB. Bagaimanapun perjalanan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar akan melalui 28 stesen. "Pada masa hadapan, kita juga berharap dapat memberikan perkhidmatan komuter Sungai Siput-Kuala Kangsar-Ipoh-Kampar bagi penduduk yang duduk berhampiran Lembah Kinta," katanya sambil menambah tren ETS yang mempunyai enam gerabak itu boleh memuatkan 312 penumpang untuk satu perjalanan. Sementara itu, berhubung ETS baharu menghubungkan Ipoh dan Padang Besar, yang sepatutnya beroperasi pada awal Julai lepas, beliau berkata pihaknya sedang mendapatkan kelulusan daripada pihak SPAD. "ETS yang baharu ini, ia mengambil sedikit masa untuk pentaulaihan. Sebab itu hari ini kita menyertai perjalanan ini untuk menguji semua ciri-ciri keselamatan. Kita perlu kebenaran SPAD, apabila kita mendapat kebenaran, kita boleh menggunakan tren ini," kata Liow. Katanya, 10 tren ETS baharu itu melibatkan kos sebanyak RM506 juta. Perkhidmatan ETS pertama negara, yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Ipoh, mula beroperasi 12 Ogos 2010. Tren pertama buatan Korea Selatan yang mempunyai enam gerabak setiap unit itu mampu bergerak 160 kilometer sejam serta hanya mengambil masa dua jam bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Ipoh.