KUALA LUMPUR: Sirul Azhar Umar hanya mahu menumpukan kepada permohonan untuk dia dibebaskan daripada tahanan pihak Imigresen Australia dan tidak akan membangkitkan isu lain, kata peguamnya Hasnal Rezua Merican. Beliau mengulas dakwaan yang tersebar melalui WhatsApp bahawa anak guamnya itu mahu membuat pendedahan dan pengakuan mengenai individu yang mengarahkan dia membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Hasnal Rezua memberitahu Bernama bahawa Sirul Azhar tidak akan berbuat demikian dan dia telah menyatakan tidak mahu lagi pulang ke Malaysia berikutan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya. Pada 13 Jan lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul Azhar dan Azilah Hadri kerana membunuh Altantuya sembilan tahun lalu, namun pada hari mahkamah membuat keputusan, Sirul Azhar tidak hadir kerana telah melarikan diri ke Australia. Dia bagaimanapun ditahan pada 20 Jan oleh pegawai imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah, dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney. "Pendirian Sirul jelas, dia tidak mahu kembali ke Malaysia berikutan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya. Keputusan dan kepentingan dia yang ada sekarang ialah untuk mendapatkan penyelesaian dengan pihak imigresen Australia untuk menetap di sana dan tidak dihantar pulang ke negara ini. "Isu lain tiada kepentingan padanya termasuk dakwaan akan membuat pendedahan dalam kes pembunuhan Altantuya," kata Hasnal Rezua. Katanya dalam kes berkenaan, Sirul Azhar hanya mahu semakan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan. "Jangan mudah percaya dengan maklumat (berkaitan dengan kes Sirul Azhar) sebegini. Kena berhati-hati dan selidik dahulu," katanya.