suria

Juadah Tradisional Masyarakat Rohingya Sederhana Tetapi Enak

Masyarakat Rohingya menunaikan solat tarawih di Pusat Tahanan Imigresen di Indonesia.

BUTTERWORTH: Sanahbul, sejenis masakan daripada kacang kuda, ubi kentang dan cabai hijau, adalah antara juadah tradisional masyarakat Rohingya yang wajib pada bulan Ramadan.

Uniknya, hidangan ini bukan dimakan bersama nasi tetapi boleh dijamah begitu sahaja, dengan timun dan daun pudina, yang menjadi kegemaran masyarakat Rohingya sepanjang bulan puasa.

Sajian tradisional ini mungkin dilihat sederhana namun rasanya tetap enak, dan yang penting setiap hidangan itu amat bermakna buat mereka apabila teringat nasib saudara yang kebuluran dan menderita didiskriminasi di negara sendiri, Myanmar.

Nosicma Abdullah, 35, berkata selain Sanahbul, hidangan seperti manisan (gurafirah), kuah kacang dal dan daging (gustosalon), roti leper (lurifirah) dan sejenis kuih seperti ketayap (naizzanfirah), juga adalah antara sajian istimewa sepanjang Ramadan.

Gurafirah, sejenis manisan yang dimasak bersama tepung beras, hirisan isi kelapa segar, kacang tanah, kismis, gula, susu dan santan, adalah antara masakan yang memerlukan masa lama dalam penyediaannya.

"Isi kelapa perlu diparut dengan tangan dan ia dimasak dengan api kecil. Gurafirah adalah antara juadah yang susah disediakan kerana ia perlukan masa yang lama," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran stesen minyak Shell Mak Mandin, di Kampung Bagan Dalam malam Jumaat.

Nosicma berkata kuah kacang dal dan daging pula dimakan bersama roti leper, sama seperti capati tetapi tekstur kulitnya lebih nipis, manakala kuih naizzanfirah berisi isi kelapa biasanya dihidang sebagai pencuci mulut.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata setiap kali menjamah masakan 'kampung' pada bulan Ramadan, perasaan sedih dan rindu akan menyelubunginya kerana berjauhan daripada ibu bapa serta teringat nasib buruk yang menimpa saudara senegaranya sehingga membawa kepada pertumpahan darah.

Suaminya, Noorul Islam Yusuf Jalal, 63, pula berkata penderitaan saudaranya di Arakan selalu dalam ingatan terutama pada bulan puasa dan Hari Raya, apabila terpaksa meraikan sambutan itu dalam keadaan ketakutan.

"Memang susah di Arakan bukan sahaja ditindas malah sekarang juga berlaku banjir di sana. Jadi bulan Ramadan dan Hari Raya tahun ini akan diraikan dalam suasana penuh sayu oleh saudara-saudara saya," katanya.

Noorul Islam yang pernah menguruskan 53 mayat rakyat senegaranya kerana mati di tepi jalan atau kehilangan nyawa kerana gagal membayar upah kepada tekong, berkata beliau sedih kerana tidak dapat membantu mereka yang tergadai nyawa di Wang Kelian, Perlis baru-baru ini.

"Ini kerana keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan serta penglihatan yang semakin kabur sejak dua tahun lepas...ini adalah antara kekesalan saya," katanya sambil menitiskan air mata.

Menceritakan pengalaman ketika melarikan diri ke Malaysia pada 1984, Noorul Islam berkata beliau memasuki negara ini melalui Golok, ke Kelantan dan ketika itu tidak ada peristiwa kejam seperti sindiket pemerdagangan manusia.

Sementara itu, pengusaha stesen minyak Shell di Mak Mandin, Abdullah Mohamed Nor berkata pihaknya menyumbangkan kira-kira RM2,000 sebagai duit raya kepada 15 keluarga Rohingya serta membeli bahan masakan bagi majlis berbuka puasa.

Walaupun ini merupakan kali kedua masyarakat Rohingya diraikan, Abdullah Mohamed berkata tahun ini amat berlainan dan istimewa kerana mereka diraikan di perkarangan kediaman bersama hidangan tradisional sendiri.

Katanya tujuan meraikan bersama mereka dalam bulan mulia ini adalah untuk berkongsi kesedihan dengan mereka yang kehilangan ahli keluarga di negara yang masih bergolak itu.

Ketika ditanya perasaan berbuka puasa bersama komuniti itu, Abdullah Mohamed berkata ini adalah pengalaman pertama beliau merasai juadah tradisional masyarakat Rohingya yang serba sederhana.

"Walaupun nampak macam serba kekurangan, saya rasa masakan ini sihat kerana tidak masin atau manis. Memang sederhana tetapi amat memuaskan berbanding pelbagai jenis yang kita akan makan secara berlebihan atau membazir makanan," katanya.

Sanahbul, Rohingya

Artikel Berikut

Rosmah Nafi Terima Dana 1MDB

Artikel Lain