CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan segera lakukan siasatan dan mengambil tindakan untuk kesalahan pemilikan dan penggunaan parabola haram yang dilaporkan berleluasa di Cameron Highlands. MCMC telah dimaklumkan mengenai kewujudan dan penggunaan parabola secara berleluasa di kawasan Cameron Highlands oleh petugas khas Ops Gading yang diketuai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sehubungan itu, SKMM akan bekerjasama dengan MKN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa penguatkuasa yang lain bagi proses penyiasatan. Penggunaan parabola yang berleluasa itu terdapat di kawasan penempatan haram yang disyaki diduduki pendatang asing tanpa izin (Pati). Penguatkuasaan sukar dilaksanakan sepenuhnya kerana kekangan seperti penempatan yang dikenal pasti dipasang di kawasan berbukit, cerun dan lereng-lereng yang menyukarkan pasukan operasi untuk memasuki kawasan tersebut dengan kenderaan biasa. Selain itu, proses untuk mengenal pasti pemilik atau pengguna parabola tersebut juga sukar, kata Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin. Pemilikan dan penggunaan parabola merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM) 1998 dan di bawah Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan di bawah AKM 1998, hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, manakala di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Standard Teknik) 2000, hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh enam bulan jika sabit kesalahan. Penggunaan parabola memberi impak kepada industri penyiaran negara kerana kandungan siaran yang diterima secara terus melalui parabola tidak ditapis. Hal ini menyebabkan pendedahan kepada bahan-bahan lucah dan ideologi songsang mudah berlaku. Kewujudan parabola yang banyak juga mencemarkan pemandangan di negara ini. SKMM sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia Malaysia mengambil berat setiap perlakuan kesalahan yang melanggar peruntukan AKM 1998 atau undang-undang subsidiarinya. SKMM akan bekerjasama bersama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk menyiasat dan mengenal pasti pemilik parabola selain daripada terus melakukan aktiviti pemantauan berkala di kawasan Cameron Highlands, tambah Zulkarnain Mohd Yasin.