SEPANG: Paparan nama mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di layar skrin mengundang sebak dan linangan air mata hadirin pada upacara memperingati tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Sabtu. Hadirin termasuk waris yang berpakaian warna suram tidak dapat menahan linangan air mata apabila senarai nama kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam tragedi pada 17 Julai 2014 itu dipaparkan menerusi layar skrin di hadapan pentas yang mengambil masa kira-kira 10 minit. Sebelum senarai itu dipaparkan, 10 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Pegawai Waran 1 Mohd Fauzi Mohd Ali naik ke pentas sambil membawa 10 bendera negara mangsa yang terlibat iaitu Australia; Belgium; Kanada; United Kingdom; Indonesia; Belanda; New Zealand; Filipina selain Malaysia. Ketika satu persatu nama mangsa dipaparkan mengikut negara masing-masing diiringi alunan muzik, selama itu jugalah waris mangsa dilihat mengesat air mata dek tidak dapat menahan kerinduan sehingga mengundang perasaan sedih kepada hadirin yang lain. Sejurus kesemua nama mangsa dipaparkan, semua hadirin bertafakur selama seminit yang mana hadirin beragama Islam menyedekahkan bacaan al-Fatihah, manakala yang lain bertafakur mengikut cara agama masing-masing. Kira-kira 1,000 orang hadir dalam upacara itu. Upacara memperingati tragedi MH17 itu turut disiarkan secara langsung antaranya oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet, pemimpin-pemimpin agama dan perwakilan-perwakilan asing juga hadir. Terdahulu, satu paparan video mengenai rentetan tragedi MH17 berdurasi tiga minit disiarkan sekali gus turut mengundang rasa hiba dalam kalangan waris. Upacara yang bermula pada 10 pagi mengambil masa kira-kira sejam, diadakan dalam suasana ringkas dan ketertiban namun penuh penghormatan. Sebelum upacara bermula, pin ribon bermotifkan pakaian seragam MAS diedarkan kepada hadirin. Upacara mengenang kehilangan insan tersayang itu bukan hanya dirasai oleh waris, tetapi juga Perdana Menteri apabila nada suaranya agak sayu ketika berucap. Najib akui, beliau turut berasa hiba dengan tragedi MH17 itu kerana kehilangan seorang nenek tiri iaitu Siti Amirah Prawira Kusuma yang ketika itu dalam perjalanan ke Jogjakarta, Indonesia dari Amsterdam. Tragedi pada 17 Julai 2014 itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, termasuk 43 rakyat Malaysia. Penerbangan MH17 itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh di Ukraine. Kompleks Bunga Raya KLIA juga merupakan venue penerimaan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 itu yang dijalankan secara berperingkat tahun lepas.