suria

"Bawa Pihak Bertanggungjawab Ke Muka Pengadilan" - Waris Mangsa MH17



SEPANG: Waris dan ahli keluarga mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 terus menaruh harapan supaya pihak bertanggungjawab mengakibatkan berlakunya insiden pada 17 Julai lalu dibawa ke muka pengadilan.

Mereka hadir pada upacara memperingati tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Clement Anthonysamy Soosai berkata, penyiasatan akan memperincikan apa yang sebenarnya berlaku dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan.

"Laporan akhir teknikal akan dikeluarkan, jadi kita harap ia dapat hasilkan penemuan untuk membawa mereka yang berkenaan ke muka pengadilan.

"Saya berterima kasih di atas usaha kerajaan menuntut bela nasib semua mangsa yang terkorban, termasuk adik perempuan saya," katanya yang merujuk kepada adik perempuannya, mendiang Mabel Anthonysamy Soosai yang terkorban bersama suami, Paul Rajasingam Sivagnanam dan anak lelaki, Matthew.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya pada majlis memperingati itu memberitahu, siasatan jenayah akan diteruskan sehingga akhir tahun ini, manakala laporan akhir siasatan teknikal akan dikeluarkan Oktober depan.

Bagi Madzalina Ghazalee yang merupakan kakak kepada seorang penumpang, Allahyarham Ariza Ghazalee pula berharap proses pendakwaan dapat dilakukan dengan sewajarnya.

"Sudah tentu kita berharap ia dapat menegakkan semua keadilan. Kita lihat butiran laporan siasatan teknikal yang akan dikeluarkan pada Oktober ini," katanya sambil terus berdoa mengenai arwah adik perempuannya yang terkorban dalam nahas bersama suami dan empat anaknya.

Sementara itu, isteri juruterbang Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin pula sedia menunggu siasatan jenayah dan teknikal yang dilakukan pelbagai pihak dalam dan luar negara, termasuk kerajaan selepas pengumuman yang dibuat Perdana Menteri.

"Saya memang mengharapkan keadilan untuk arwah dan kami sebagai keluarganya mahu orang yang bersalah dihukum," kata Mariyam Yusoff.

Sementara itu, bagi seorang warga Belgium, Ria Derden, kunjungannya dari negaranya untuk menghadiri upacara memperingati tragedi MH17 di Malaysia pada Sabtu sedikit sebanyak berbaloi apabila penjelasan Najib menjawab persoalan berhubung perkembangan siasatan nahas.

Anak saudara kepada seorang penumpang, Liliane Derden berkata, pemergian insan yang tersayang amat dirasai, oleh itu wajar untuk terus memperjuangkan hak mereka yang terkorban dalam nahas itu.

"Saya tiba di Malaysia semalam (Jumaat). Pada pagi ini, Perdana Menteri Malaysia sudah pun memberi penjelasan semasa mengenai siasatan.

"Sama-samalah kita berdoa supaya ada sesuatu yang positif nanti sebagaimana yang semua harapkan," katanya yang turut bercadang untuk menghadiri upacara memperingati tragedi MH17 yang bakal diadakan di Belanda pada 17 Julai ini.

Majlis memperingati ini diadakan sempena ulang tahun pertama tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 rakyat Malaysia.


MH17, KLIA, Mariyam Yusoff

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain