JOHOR BARU: Seorang pemuda maut manakala abangnya cedera parah apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabas dan masuk ke dalam longkang di KM47.2 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Kluang pada Sabtu. Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata dalam kejadian 7.45 pagi itu, menyebabkan Muhammad Amer Fahiz Mohd Said, 19, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd Badiuz'zaman, 27, cedera parah. "Kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dari arah Batu Pahat itu dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah stesen minyak di Taman Desa, Kluang," katanya ketika dihubungi pada Sabtu. Mohamad berkata sebaik tiba di tempat kejadian, Muhammad Amer Fahiz yang memandu kereta itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebatang pokok. "Kereta itu kemudiannya terbalik dan masuk ke dalam longkang," katanya. Menurut Mohamad, bentuk jalan di tempat kejadian berselekoh dan sedikit menurun bukit, namun, keadaan cuaca ketika itu baik. Mayat dan mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, untuk bedah siasat dan rawatan, katanya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.