MELAKA: Seorang bayi lelaki ditemui seorang jemaah masjid di tangga pintu masuk Masjid Kampung Alai di sini, dalam keadaan berselimut di dalam sebuah bakul pada awal pagi Ahad. Nor Azizan Md Nordin, 50, berkata, bayi lelaki berkenaan ditemui pada 4.30 pagi ketika beliau berada di dalam masjid tersebut untuk melakukan solat sunat dan qiamullail seorang diri. "Ketika sedang bersolat, saya ada dengar seperti seseorang menolak pintu pagar depan masjid namun tiada orang masuk sebelum mendengar suara bayi menangis selepas selesai memberi salam. "Pada mulanya saya sangka hanya ilusi kerana sunyi pada waktu itu tetapi selepas menuju ke tangga masjid saya terperanjat menemui bayi itu dalam keadaan menangis," katanya ketika ditemui di sini, Ahad. Beliau menepuk bayi untuk meredakan tangisan sebelum bayi tersebut berhenti menangis dan tertidur 15 minit kemudian. "Pada masa itu saya terus menghidupkan enjin motosikal ke Balai Polis Kandang untuk meminta bantuan serta membuat laporan mengenai penemuan bayi itu," katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Kamaluddin Kassim ketika dihubungi berkata, polis sedang melakukan siasatan terperinci termasuk mengesan ibu bapa bayi tersebut. "Hanya satu daripada 16 kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi dan tiada rakaman individu terlibat kerana suspek dipercayai memasuki masjid tersebut di bahagian CCTV yang tidak berfungsi," katanya. Beliau berkata, bayi berkenaan yang kini dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dipercayai sengaja ditinggalkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil membantu atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Afna Ibrahim di talian 06-2854222.