suria

Najib Agih Bantuan Zakat Di Pekan

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengagihkan sumbangan zakat kepada 5,981 penerima terdiri daripada golongan asnaf, warga emas, golongan kurang upaya (OKU), dan ibu tunggal di Parlimen Pekan.

Sebelum itu, dalam majlis yang diadakan di Dewan Konvensyen di sini Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, turut menerima sumbangan zakat lebih RM1 juta yang disampaikan lapan badan korporat dan seorang ahli perniagaan.

Kesemua zakat berkenaan diterima daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad sebanyak RM600,000: Uda Holdings Berhad (RM200,00); Affin Islamic Bank Berhad (RM100,000) dan Roadcare (M) Sdn Bhd (RM100,000).

Zakat turut disumbangkan oleh Lembaga Tabung Haji sebanyak RM100,000; SME Bank (RM50,000); Yayasan Basmi Kemiskinan (RM50,000) dan seorang tokoh perniagaan yang disampaikan oleh wakilnya Datin Mariamah Mohamed (RM100,000).

Turut hadir dalam majlis tersebut isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang turut membantu mengagihkan zakat kepada penerima.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Datuk Seri Hasan Malik.

Sementara itu, seorang penerima Rani Abas, 60, dari Kampung Pulau Serai di sini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib rakyat melalui sumbangan zakat berkenaan.

"Dalam keadaan barang yang semua naik pada masa kini, dapatlah sedikit sebanyak sumbangan ini digunakan untuk membeli barangan keperluan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya yang mempunyai empat orang anak serta suami yang kini terlantar di hospital kerana menghidap penyakit kencing manis.

Sementara itu, bagi Masliah Jusoh, 55 dari Kampung Bunut, di sini, wang zakat yang diterima itu akan digunakan untuk mengadakan persiapan raya termasuk membeli baju raya untuk empat anaknya yang berumur antara lapan hingga 19 tahun.

"Tahun ini, kami sekeluarga hanya membuat sambutan hari raya secara ala kadar sahaja kerana keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan saya untuk membuat kerja berat.

Tetapi dengan adanya bantuan sumbangan zakat ini, dapatlah juga saya dan suami gunakannya untuk membeli apa yang perlu terutama untuk anak-anak," katanya yang menghidap kanser usus dan terpaksa berulang alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan sejak setahun yang lalu.

Zakat, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain