PETALING JAYA: 'Walaupun orang kata dah setahun berlalu, lagi lama pemergian arwah, lagilah aunty teringat.' Demikian luahan Sharom Ibrahim, ibu kepada pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, Nur Shazana Mohamed Salleh, 32, salah seorang mangsa pesawat yang ditembak jatuh kumpulan pemberontak pro Rusia di timur Ukraine pada 17 Julai lalu. Ibu kepada empat orang anak itu tidak dapat menahan sebak sebaik ditanya mengenai persiapan sambutan Aidilfitri pada tahun ini yang jatuh pada ulang tahun setahun pemergian anak perempuan tersayang. Sharom berkata sambutan Aidilfitri pada kali ini tiada makna bagi mereka sekeluarga yang masih meratapi pemergian Nur Shazana. "Tiada raya pada tahun ini. Tarikh 17 Julai merupakan detik hitam dalam hidup kami sekeluarga. Kami tak ada langsung perasaan nak raya. Tahun lalu pun tak ada persiapan langsung, sebab kami berulang alik ke Amsterdam," katanya ketika dihubungi mStar Online. Wanita berusia 57 tahun itu berkata, sambutan Aidilfitri pada kali ini tidak semeriah dua tahun lalu apabila Nur Syazana melakukan kejutan kepada dirinya untuk balik berhari raya. Sharom sebak semasa jenazah Nur Shazana dikebumikan di Putrajaya pada Ogos tahun lalu. - IZZRAFIQ ALIAS/The Star "Tiada lagi kejutan pada tahun ini, begitu juga tahun-tahun yang akan datang. Gurauan dan kejutan arwah kepada aunty pada 2013 masih terngiang-ngiang di ingatan sampai hari ini. Aunty tak tahu nak gambarkan macam mana," katanya dalam nada sebak. Jelas beliau, kepulangan anak sulung daripada empat beradik itu pada sambutan Aidilfitri dua tahun lalu merupakan kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul beramai-ramai bersama saudara mara. "Arwah suka berkumpul dengan sepupu yang seusia dengannya. Malah dia suka buat lawak. Sikapnya itu membuatkan dia disenangi ramai. Dia juga suka layan budak-budak," katanya yang berada di Kuala Lumpur sejak dua minggu lalu. Sharom berkata, beliau bersama dua lagi anak perempuannya akan menziarahi pusara arwah Nur Shazana pada hari pertama Aidilfitri yang dijangka disambut pada Jumaat ini. "Kami akan sedekahkan bacaan Yassin kepada arwah. Sebenarnya pada tahun ini kami mengelak untuk berkumpul beramai-ramai bersama saudara mara kerana berasa sedih sebab arwah tak ada. "Namun, memandangkan nenek arwah yang di Pulau Pinang kata nak sambut raya dengan kami di Kuala Lumpur tak sampai hati pula. Mungkin lepas menziarahi kubur, kami akan pergi melawat nenek arwah di rumah kakak aunty di Gombak," katanya. TINGGAL KENANGAN... Nur Shazana (duduk kanan) bergambar bersama keluarganya di rumah mereka di Bukit Gedung, Pulau Pinang. Beliau berkata, sambutan Aidilfitri pada kali ini juga agak hambar kerana suami, Mohamed Salleh Samsuddin, 55, dan anak bongsunya, Mohamed Shafiq, 21, akan berlepas ke Belanda untuk menghadiri upacara peringatan untuk mangsa nahas MH17 pada Rabu ini. "Pada asalnya, MAS sediakan empat tiket tetapi selepas itu dimaklumkan hanya ada dua tiket sahaja. Jadi aunty biarlah anak bongsu temani suami kerana tahun lepas dia tak pergi sebab ada peperiksaan," katanya. Sharom berkata, mereka berdua akan berlepas bersama beberapa waris mangsa yang lain pada Rabu ini dan kembali ke tanah air pada Isnin depan. Ketika ditanya mengenai makanan kegemaran Nur Shazana, Sharom memberitahu anaknya itu gemar makan bihun dan makaroni sup serta lontong. "Pada raya tahun lalu, mak saudara Nur Syazana tak masak lontong sebab terkenangkan arwah. Apabila 12 cucu dia (mak saudara arwah) mai, nak makan lontong, dia beritahu lontong tak dak," kata Sharom. Beliau berkata, setiap kali menjamah makanan tersebut, air matanya pasti akan menitis kerana terkenang dengan tabiat arwah yang suka makan. "Dia memang suka makan apa sahaja asalkan bukan makanan manis. Tiap kali bila dia balik raya, meja akan dipenuhi makanan. Seronok bila tengok dia makan masakan mak cik, tapi semua itu dah tinggal kenangan," katanya.