TIDAK mudah bagi keluarga Ketua Pramugari MH17, Dora Shahila Kassim mengharungi tempoh setahun sejak tragedi hitam itu berlaku. Andai dunia melihatnya sebagai satu tragedi yang menyayat hati, mana mungkin ia sama dengan kepedihan dan kesedihan yang dirasai sendiri oleh ahli keluarga mereka yang kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata. Menjelang ulang tahun pertama insiden MH17 ditempak jatuh di Ukraine, mStar Online cuba menyelami hati dan perasaan anak tunggal mangsa, Nur Diyana Yazeera Yazli, 16, ibunya, Hasnah Mohd Yusof, 72 dan abangnya Don Shahidan, 49. Mereka turut ditanya tentang persiapan menyambut Aidilfitri yang kebetulan jatuh pada 17 Julai ini di mana mereka dibawa terbang ke Amsterdam untuk upacara memperingati mangsa-mangsa tragedi MH17.