suria

Lelaki Sasa Jual Durian Curi Perhatian

Jordan Yeoh (kiri) mengopek durian untuk pelanggannya di sebuah gerai di Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Saat Jordan Yeoh menawarkan diri untuk membantu rakannya berniaga menjual durian, dia tidak menyedari kehadirannya itu akan mencetuskan sensasi di Internet.

Pemuda berusia 28 tahun dari Petaling Jaya kini mula dikenali di Internet, membarisi penjual Tau Fu Fa warga Taiwan, Yi Tin Chen, pengawal keselamatan perkhidmatan kereta api bawah tanah warga Brazil, Guilherme Leão dan wartawan warga Jepun, Daijiro Enami yang masing-masing popular kerana mempunyai wajah kacak dan personaliti menarik.

Ahad lalu, jurulatih peribadi itu memuat naik 10 gambar mengenai dirinya membantu ibu bapa rakannya menjual durian di SS2 di sini.

'Posting' di Facebook itu kemudiannya menjadi viral apabila ia dikongsikan lebih 18,000 kali dalam masa empat hari.

Kisahnya bermula apabila Yeoh yang menggelarkan dirinya sebagai seorang yang menyukai durian, memulakan diet baharu.

"Saya diet kerana saya mahu menurunkan berat badan untuk mencantikkan bentuk badan. Bila saya mengamalkan diet, saya tidak akan mengambil buah-buahan tetapi saya menyukai durian dan tidak memakan durian sejak sekian lama. Jadi, saya mempunyai keinginan terhadap durian," katanya kepada The Star Online.

Bagi 'cheat meal' (tidak mengamalkan diet pada hari tertentu) pada hujung minggu, Yeoh akan pergi ke gerai durian rakannya.

"Saya terfikir, kenapa tidak melakukan sedikit berbeza? Daripada hanya sekadar makan, saya bertanya sekiranya saya dapat membantu mereka menjual durian," kata Yeoh, yang menegaskan bahawa dia bukan seorang penjual durian atau pakar dalam mengendalikan buah itu.

"Saya tidak mahu membuatkan mereka (ibu bapa rakannya) lebih sibuk semasa berniaga. Apa yang saya buat adalah mudah. Saya mengopek durian, mengangkat buah itu dan membuang kulitnya serta melayani pelanggan," katanya.

Dia menjelaskan salah satu inspirasi yang diperolehnya untuk berbuat demikian ialah penjual Tau Fu Fa yang kisahnya menjadi viral. 

Yeoh memberitahu bahawa dia dihujani dengan pelbagai pesanan yang memenuhi peti pesanannya di Facebook sejurus selepas memuat naik gambar-gambar berkenaan.

"Ia (mesej) datang daripada wanita, lelaki, mereka yang mengamalkan kecergasan dan mereka yang mahu membina bentuk badan yang menarik," katanya.

Malahan katanya, dia turut menerima mesej daripada 'pakcik-pakcik' dan warga emas yang berminat untuk menyertai amalan kecergasan dan mendapatkan tips kesihatan.

Perkara itu turut dilihat sebagai peluang yang baik buat Yeoh untuk kembali berhubung dengan rakan-rakannya yang tidak berjumpa selama bertahun-tahun apabila ramai yang menghubunginya selepas melihat gambar-gambar tersebut.

"Fikiran saya bercampur baur. Saya sudah tentunya gembira dan teruja namun pada masa sama saya bimbang kerana tidak tahu bagaimana menangani situasi ini," katanya.

Mengenai nasihat kecergasan, Yeoh mengalakkan mereka yang berminat untuk mengamalkan gaya hidup sihat supaya melakukan sahaja amalan itu.

"Ramai yang terlalu memikirkan apakah senaman terbaik, apakah diet terbaik, apakah senaman terbaik yang dikatakan untuk menurunkan berat badan. Tetapi tiada satu pun akan berhasil sekiranya anda tidak mengambil langkah pertama untuk melakukannya," katanya.

"Oleh itu, lakukan saja. 10 kali 'push-up' (tekan tubi) sehari adalah baik kerana mungkin 10 'push-up' itu akan meningkat kepada 20, 30, 50 kali dan seterusnya selepas itu," katanya.

Bagaimanapun, pasti ada antara peminatnya selepas ini kecewa apabila mengetahui bahawa Yeoh sebenarnya sudah bertunang. 

Jordan Yeoh, durian

Artikel Sebelum

Artikel Lain