suria

Low Yat: Peguam Diselar Dakwa Ketua Polis Negara Bohong

Khalid Abu Bakar.

GOMBAK: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu menyelar tindakan peguam yang membela salah seorang tertuduh dalam insiden pergaduhan di Plaza Low Yat, Ahad lalu.

Khalid berkata, mereka yang terlibat dalam insiden provokasi perkauman itu dilihat mahu lari daripada tanggungjawab mereka selepas didakwa salah laku.

Pada Selasa, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa Ketua Polis Negara sebagai penipu apabila memberikan maklumat tidak benar mengenai anak guamnya.

Khalid berkata, mereka yang berada di pihak yang salah boleh mengatakan apa sahaja yang mereka mahu tetapi ia tidak akan mengubah jenayah yang telah dilakukan.

"Itulah masalahnya kan? Mereka yang ditahan boleh kata apa sahaja yang mereka mahu untuk tidak dipersalahkan.

"Jadi jika orang mahu percaya kata-kata mereka yang didakwa di mahkamah... silakan!" kata Khalid kepada pemberita.

Mengenai kritikan Khairul Azam, Khalid menyifatkannya bukan seornag 'peguam yang bijak'.

"Dia mempunyai motif lain, tidak baik. Peguam yang bijak tak buat perkara ini.

"Saya jemput media untuk datang ke balai bagi menemuramah mereka yang kita tahan. Sudah tentu mereka akan kata mereka tak bersalah dan polis silap," katanya.

Polis menahan 26 orang berhubung insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada malam Sabtu dan malam Ahad lalu.

Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, mengaku tidak bersalah di mahkamah Majistret atas dakwaan mencuri sebuah telefon bimbit Lenovo S860 berharga RM800 dari sebuah kedai di Plaza Low Yat.

Dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh disabitkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan.

Artikel Lain