suria

Pasangan Cinta Jarak Jauh Bakal Diijab Kabul Lima Minggu Lagi

PETALING JAYA: Pasangan yang sedang menjalinkan cinta jarak jauh, Aadil Marzani Samsuddin dan Nik Nurul Athirah, subjek dalam filem pendek Malaysia Airlines #LundangtoNewcastle sedang menghitung hari menantikan tarikh ijab kabul.

Aadil, 27, jurutera yang berpangkalan di London, bersyukur dapat bertukar-tukar ucapan Raya dengan Athirah, 26, melalui media sosial.

"Memandangkan Hari Raya jatuh pada hari Jumaat, saya akan berada di tempat kerja selepas solat kerana di UK bukan cuti umum. Saya tinggal tidak jauh dari pejabat, dan kami dapat mengucapkan Selamat Hari Raya yang singkat tetapi manis antara satu sama lain  melalui Skype.

"Saya sebenarnya memilih untuk tinggal dekat dengan tempat kerja saya (di Norwich) semata-mata untuk  menghubungi Athirah melalui Skype pada waktu makan tengah hari," katanya kepada The Star dalam satu temubual melalui e-mel.

Kesengsaraan pasangan yang terpisah jauh itu akan berakhir dalam tempoh lima minggu, apabila mereka akan berkahwin.

"Masih banyak persediaan. Saya sedikit-sebanyak perlu menyelesaikan urusan hantaran. Agak sukar kerana saya berada di negara yang berbeza!" katanya.

Sementara itu, Athirah yang merupakan seorang doktor di Kota Baru berkata mereka mengambil keputusan untuk mengadakan sebuah majlis yang serba ringkas bagi mengelakkan tekanan.

"Kami cuba untuk memastikan ia dilakukan seringkas yang mungkin. Alhamdulillah, ibu saya telah banyak membantu dan keluarga saya banyak memberikan sokongan yang membuatkan saya berasa sangat bersyukur," kata beliau.

Athirah akan bertugas 'on-call' pada Aidilfitri.

"Mudah-mudahan saya mempunyai masa lapang untuk ber'Skype' dengan Aadil. Tetapi pada hari kedua, saya dapat balik kampung."

Aadil akan pulang ke rumah keluarganya pada Jumaat petang untuk meluangkan masa dengan keluarga, termasuk anak-anak saudaranya.

"Ibu saya biasanya membuat lemang versi UK yang diubahsuai. Pada usia saya sekarang, ia lebih kepada menghabiskan masa bersama keluarga dan memohon kemaafan," katanya.

Aidilfitri Athirah akan disambut seperti mana rakyat  Malaysia lain menyambutnya, termasuklah melawat pusara datuk dan nenek.

"Dalam usia yang semakin dewasa, saya hanya fikir untuk berjumpa kawan-kawan, keluarga atau saudara-mara adalah peluang yang tidak patut dilepaskan. Anda tidak pernah tahu bila akan menjadi kali terakhir anda melihat mereka ini," katanya.

Kisah Aadil dan Athirah ini telah menerima lebih 2.35 juta paparan di YouTube.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain