PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP, Tony Pua mencabar pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya menuduh beliau secara terbuka bertemu dengan bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo. Pua melontarkan cabaran itu dilaman Facebook miliknya pada Sabtu berserta dengan pautan laporan berita Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menggesa pihak pembangkang supaya segera membuat penafian yang mereka bertemu dengan Justo untuk membeli maklumat sulit. "Saya mencabar mana-mana menteri BN untuk menuduh saya bertemu dengan Justo," tulisnya. Justo dilaporkan bertemu dengan pemimpin pembangkang Malaysia dan pemilik media di Singapura sebelum warga Switzerland itu ditahan di Thailand pada 22 Jun lalu. Justo yang sedang disiasat polis Thailand kerana didakwa memeras ugut bekas majikannya, mengaku bertemu beberapa individu di Singapura untuk berunding mengenai penyerahan dokumen tertentu dimilikinya.