KUALA LUMPUR: Walaupun beliau anak kelahiran Sungai Petani, Kedah namun, masalah gelandangan di ibu negara mendapat perhatiannya sehinggakan sanggup berkorban masa mendidik golongan itu dengan nilai-nilai agama. Anggota Dewan Negara Senator Shahanim Mohd Yusof meluangkan masa kira-kira 3 jam sebanyak lapan kali sebulan untuk bersama golongan gelandangan di sekitar Jalan Hang Lekiu di sini demi mendidik dan menerapkan nilai-nilai agama dalam memulihkan kerohanian mereka. Bernama yang mengikuti beberapa kelasnya mendapati Shahanim akan memulakan sesi motivasinya dengan membaca surah Al-Fatihah sebelum mengajar beberapa surah ringkas termasuk Al-Asri, Al-Fil, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Beliau kemudian menerangkan pengertian kehidupan berlandaskan agama Islam di samping mengadakan pertandingan hafazan bagi surah-surah yang telah beliau ajarkan kepada mereka. Biarpun dalam kumpulan gelandangan itu ada yang beragama lain namun, mereka turut serta mendengar ceramah yang disampaikan oleh senator itu. Ini kerana berdasarkan pemerhatiannya semasa beberapa siri 'turun padang' dengan gelandangan di sekitar ibu kota, kebanyakan mereka tidak mempunyai pengisian jiwa menyebabkan mereka kurang bersemangat untuk berubah kepada kehidupan yang lebih baik. Shahanim berkata bukan semua gelandangan malas dan sengaja memilih hidup merempat malah ada di antara mereka pernah menyandang jawatan pegawai tinggi di syarikat-syarikat ternama tetapi diberhentikan dan terpaksa menanggung hutang yang banyak. "Janganlah kita menghukum mereka, sebaliknya kita kenal pasti kenapa mereka hidup sebegini. "Selain makanan dan keperluan asas, jiwa golongan ini perlu diisi dengan aspek-aspek kerohanian dan motivasi agar mereka lebih terbuka dan berusaha memajukan diri," katanya kepada Bernama di sini. Melihatkan keadaan gelandangan, pasti ramai akan merasa belas kasihan dan mahu membantu mereka. Apatah lagi sekiranya ada kalangan mereka sudah berkeluarga dan terpaksa menjaga anak-anak dalam persekitaran yang kurang kondusif dan kotor. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk membangunkan pusat perkhidmatan gelandangan di Medan Tuanku dan dua projek premis pusat sehenti di Chow Kit dan Bulatan Pahang di sini. Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini. Pada persidangan Dewan Negara baru-baru ini, Shahanim mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan pangkalan data gelandangan bagi mengenal pasti punca permasalahan, keperluan dan kehendak sebenar golongan berkenaan. Selaku penaung Persatuan Belia Nur Kasih, beliau berkata setakat ini persatuan itu menyenarai lebih 800 gelandangan wanita, lelaki, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU), dan bersedia memanjangkannya kepada pihak berkenaan. "Maklumat yang kita dapat akan disalurkan kepada agensi atau kementerian bertanggungjawab...berilah mereka peluang pekerjaan yang bersesuaian seperti tukang kebun atau pembantu rumah," katanya.-- Bernama