KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan penyebaran perbualannya bersama penulis blog, Papagomo menerusi aplikasi WhatsApp yang menunjukkan beliau meminta rasuah sebanyak RM20,000. Khalid berkata, siasatan dimulakan terhadap akaun Facebook 'Papagomo Original' yang didakwa memuat naik 'paparan skrin' yang didakwa sebagai perbualan antara beliau bersama penulis blog itu. Menerusi perbualan yang dikatakan itu, Khalid meminta rasuah sebanyak RM20,000 bagi 'menyelesaikan' kes penulis blog itu selepas dia ditahan pada Selasa lalu kerana didakwa terlibat dalam insiden pergaduhan di Plaza Low Yat. Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris dibebaskan dari tahanan polis pada Jumaat lalu. "Satu laporan dibuat bagi membantu siasatan," kata Khalid kepada The Star tetapi mengesahkan bahawa peguam Papagomo, Ahmad Shuaib Ismail turut membuat laporan bahawa akaun Facebook itu bukan kepunyai penulis blog berkenaan. Halaman di akaun Facebook itu turut menyiarkan khabar angin yang didakwa perjumpaan diadakan di antara badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan merancang untuk melakukan pergaduhan bersenjata di Plaza Low Yat pada Sabtu. Perkara itu tersebar selepas penahanan Papagomo. Bukit Aman yang menyifatkan penyebaran maklumat tidak benar itu mempunyai niat untuk merosakkan keharmonian dan keamanan, menggesa rakyat Malayisa supaya tidak membiarkan mesej-mesej tersebut viral secara dalam talian. Sementara itu, Ahmad Shuaib turut menasihatkan anak guamnya supaya menjauhi daripada halaman itu dengan mengatakan bahawa Papagomo tidak boleh mengemaskininya kerana ketika itu dia di dalam tahanan. Papagomo sebelum ini ditahan kerana didakwa memuat naik gambar seorang mangsa rompakan warga Melayu yang cedera, di media sosial, dengan mendakwa bahawa ia sebagai mangsa pergaduhan di Plaza Low Yat. Polis menahannya kerana didakwa tindakannya itu membangkitkan ketegangan kaum.