KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersiap sedia untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa sekiranya berlaku kebakaran berikutan musim kemarau di Sarawak ketika ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. "Sekiranya ada bencana berlaku seperti kebakaran pada musim kemarau ini, kami (JKM) akan dipanggil untuk membantu sekurang-kurangnya untuk membekalkan makanan dan keperluan asas sementara menunggu bantuan-bantuan lain. "Ini antara tugas yang sering dilaksanakan JKM selain akan bekerjasama dengan bomba dan polis bagi membuat penilaian bantuan yang perlu diberikan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka di kediamannya, di sini, Ahad. Cuaca panas dan kering di Sarawak terutama di bahagian barat dan utara negeri ini dijangka berterusan sehingga September. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Sarawak dijangka menerima taburan hujan sedikit di bawah normal dengan jumlah hujan bulanan di dalam julat 150mm hingga 300mm. Mengulas lanjut, Rohani turut menasihatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan masing-masing pada musim kemarau ini. "Minum air lebih banyak khususnya air putih dan pada masa yang sama kalau dapat elakkan dari berada di tempat-tempat yang terdedah secara langsung dengan cuaca panas. Bagi menghadapi musim kemarau ini, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mengarahkan agensi dan jabatan kerajaan mengambil tindakan proaktif bagi menghadapi kemarau dan jerebu di negeri ini. Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang, turut meminta penyedia bekalan air seperti Lembaga Air Kuching (LAK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) merangka persiapan pelan luar jangka jika berlaku kekurangan bekalan air.-- Bernama