KUCHING: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah untuk membuat kajian bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan peningkatan kemalangan di jalan-jalan persekutuan pada musim perayaan ini. Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata menerusi kajian itu, kerajaan akan melihat secara keseluruhan faktor yang menjadi punca kemalangan agar tindakan bersepadu dapat diambil dalam menyemai budaya pemanduan selamat. "Kita mahu melihat apakah puncanya, adakah ia disebabkan reka bentuk ataupun keadaan jalan yang tidak begitu selamat. "Walaupun kita sudah menambah baik semua kawasan yang kerap berlaku kemalangan, nampaknya kadar kemalangan masih meningkat di jalan-jalan persekutuan," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitrinya di Samariang di sini, Ahad. Lebih 12,000 pengunjung menghadiri rumah terbuka itu termasuk anggota kabinet negeri dan pusat.-- Bernama