suria

Anak Mangsa Nahas MH17 Jual Rumah, Berhenti Kerja & Saman MAS

PETALING JAYA: Anak lelaki seorang guru dari Sydney yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 tahun lalu terpaksa menjual kediaman keluarga dan berhenti kerja, lapor media Australia.

The Sydney Morning Herald melaporkan, Tim Lauschet, 24, memfailkan saman terhadap MAS di Mahkamah Tinggi Australia pada Jumaat pada ulang tahun pertama tragedi MH17 ditembak jatuh dan mengorbankan semua 298 penumpang dan kru itu.

Ibunya, Gabriele Lauschet, 48, adalah antara yang menaiki pesawat itu ketika ia ditembak di sempadan Ukraine-Rusia.

Tim menuntut kehilangan dan sebarang kerosakan yang berkaitan dengan penjualan rumah ibunya selepas kejadian itu.

Dilaporkan Tim hanya menerima pampasan sebanyak A$50,000 (RM140,205).

Menurut peguamnya, jumlah yang sepatutnya diterimanya adalah A$113,100 (RM317,144) mengikut garis panduan pampasan yang diiktiraf industri penerbangan antarabangsa.

Laporan itu memetik peguamnya sebagai berkata, Tim juga layak memasukkan kerosakan kerana kehilangan tempat bergantung.

Mengikut tuntutan yang dikemukakan itu, Tim yang dijaga ibunya turut mendapat pendidikan, latihan, bimbingan dan galakan serta sumber kewangan, manfaat dari segi ekonomi dan sokongan.

Antara lain tuntutan itu menyebut Tim kini menghidapi kecederaan psikiatirk dan/atau psikologikal susulan kematian ibunya hingga menyebabkan dia tidak dapat bekerja.

Tim juga dilaporkan berkata, beliau terpaksa mengemukakan saman kerana MAS tidak menjawab persoalan yang dikemukakan peguamnya pada Januari lalu.

Ibunya adalah seorang guru di Sekolah Antarabangsa Jerman di Sydney.

"Saya berharap dia bangga dengan tindakan ini. Ibu seorang yang lemah lembut tetapi tegas serta mampu melalui pelbagai cabaran sendirian," kata Tim.


MAS, Tim Lauschet, Sydney

Artikel Berikut

Artikel Lain