KUALA LUMPUR: Desakan untuk mendapatkan keadilan susulan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh mendorong Malaysia bertegas untuk memastikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi penubuhan tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat serta menghukum pihak bertanggungjawab. Pendirian itu turut dinyatakan empat lagi negara yang menganggotai, Pasukan Siasatan Bersama (JIT) iaitu Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine. Malahan, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis juga mahu pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan menerusi tribunal itu, manakala Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, mangsa nahas membabitkan Penerbangan Malaysia (MAS) itu perlu diberi penghormatan menerusi usaha bersama untuk menegakkan keadilan berhubung kejadian itu. Bagaimanapun, Rusia yang mempunyai kuasa veto sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan menentang draf resolusi itu dengan menganggap ia terlalu awal dan tidak menguntungkan. Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov pada minggu lalu berkata, negara itu akan menunggu laporan akhir siasatan nahas MH17 yang dijangka siap Oktober ini sebelum meneruskan sebarang usaha untuk membentuk tribunal itu. Pesawat Boeing 777 itu ditembak di kawasan bergolak oleh pemberontak pro Rusia di timur Ukraine setahun lalu mengakibatkan semua 298 penumpang serta kru maut. Kiev dan negara barat menuding jari kepada puak pemisah Rusia dengan mengatakan peluru berpandu digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu. Bagaimanapun, Moscow menafikan terbabit dan menuduh pihak tentera Ukraine bertanggungjawab. Difahamkan resolusi itu sepatutnya dibentangkan pada Rabu, bagaimanapun ia ditangguh kerana tentangan pihak Kremlin. Bagi Rusia, siasatan antarabangsa yang terperinci perlu diselesaikan dahulu sebelum pihaknya memutuskan bagaimana untuk menghukum pihak bertanggungjawab yang melakukan jenayah itu. Setakat ini, hanya Malaysia mendesak pelaksanaan resolusi itu kerana ia adalah wakil tunggal JIT yang menduduki kerusi Majlis Keselamatan PBB ketika ini. Malaysia dilantik untuk tempoh dua penggal bermula Oktober lalu dan menduduki kerusi tidak tetap pada Januari lalu. "Malaysia dan JIT sependapat bahawa tribunal jenayah antarabangsa adalah mekanisme terbaik untuk menangani isu jenayah yang sungguh kejam ini. "Kami yakin mendapat sokongan anggota majlis itu bagi meluluskan resolusi itu walaupun Rusia mempunyai kuasa veto," kata pegawai diplomatik negara. Beliau berkata, Rusia merangka draf resolusinya sendiri dan cabaran ketika ini adalah untuk mengesan titik persamaan dalam dokumen itu. Menurut pegawai itu lagi, hanya tribunal antarabangsa dapat menyediakan kesahan tahap tinggi serta prospek kerjasama antarabangsa menerusi proses menuntut keadilan jenayah. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman juga telah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Australia, Julie Bishop berhubung isu ini berkaitan desakan untuk meluluskan resulusi itu di Majlis Keselamatan PBB.