PETALING JAYA: Cadangan untuk mengadakan majlis sempena Aidilfitri di Plaza Low Yat mendapat sokongan selepas insiden pergaduhan yang mengejutkan rakyat negara ini hujung minggu lalu. Penasihat Persatuan Pusat Membeli-Belah Malaysia, Joyce Yap berkata, majlis itu diharap dapat menyatukan semula rakyat negara ini, selain meningkatkan keyakinan terhadap kawalan keselamatan di pusat membeli-belah. Beliau yang juga bekas pengerusi Persatuan Pelancongan Bukit Bintang-KLCC (BBKLCC) berkata, plaza itu adalah pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. "Jadi penting untuk kita mengetengahkan perpaduan di kalangan rakyat negara ini," katanya. Pada Jumaat, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu akan berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan untuk mengadakan majlis Hari Raya di plaza yang dikenali sebagai sebagai pusat jualan alat telekomunikasi. Cadangan itu menyusul berikutan kejadian pergaduhan di plaza itu berkaitan kes mencuri telefon. Peniaga juga mendakwa insiden berkenaan mengakibatkan jualan mereka merudum antara 40 hingga 50 peratus. Yap berkata, jualan di pusat membeli-belah lain kekal pada tahap baik dan persatuan itu menyokong usaha untuk membantu Plaza Yow Yat.