suria

Pengarang Sarawak Report Clare Seorang Wanita Kaya, Dakwa Lester

Clare Rewcastle-Brown.

KUALA LUMPUR: Bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi mendakwa kumpulan pemuliharaan bukan berasaskan keuntungan, Yayasan Bruno Manser (BMF) membayarnya untuk menyunting artikel untuk laman web Sarawak Report.

Menerusi bahagian kedua video pendedahan Lester, 49, dia mendakwa wang dimasukkan ke dalam akaun banknya oleh pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang membiayai kesemua perbelanjaannya, malah membelikan tiket penerbangan untuknya bekerja dari Kuching ke London.

"Dia (Clare) seolah-olah CEO (ketua pegawai eksekutif)!" dakwanya.

Dakwa Lester: "Clare seorang wanita kaya, mungkin dia mahu dikenali sebagai orang yang menyelamatkan saudara mara di Malaysia di sini."

Video itu kemudiannya menunjukkan paparan gambar menunjukkan resit tiket elektronik penerbangan, tetapi imej berkenaan kabur sehingga menyukarkan untuk melihat sebarang butirannya.

Lester mendakwa beberapa pemimpin pembangkang terlibat dalam "Misi untuk 'menjenayahkan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)", tetapi tidak menyediakan sebarang bukti mengenainya.

Lester turut mengatakan bahawa salah seorang ahli politik telah bercakap dengannya pada Januari lalu dan bertanyakan sekiranya dia terlibat dalam "misi" 1MDB.

"Tetapi saya beritahu saya tidak terlibat dan meminta dia untuk bercakap terus dengan Clare," dakwanya.

Sehingga berita ini ditulis, BMF masih belum memberi maklum balas terhadap emel yang dikirimkan oleh The Star berhubung video mengenai dakwaan itu.

Artikel Lain