suria

Taman Tema Animasi Bakal Jadi Ikon Utama Pelancongan Perak

MAPS dijangka menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

IPOH: Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS), yang mempertaruh tarikan seperti 'Live Adventure Zone - Casper The Friendly Ghost', 'Mr Peabody  and Sherman', Megamind dan siri animasi tempatan BoBoiBoy, akan menjadi ikon utama Perak bagi menarik kunjungan pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, dengan tarikan sedemikian, MAPS diiktiraf sebagai taman tema animasi bertaraf antarabangsa yang pertama di Asia.

Beliau berkata, pelancong, khususnya dari luar, pasti teruja menanti pembukaan MAPS yang dijangka awal Mac depan di Meru Raya.

"Dengan wujudnya taman tema ini, ia diharap menjadi pemangkin kepada industri pelancongan di Perak. Apabila orang sebut MAPS, orang akan ingat Perak," katanya kepada Bernama di sini.

Menerusi siri promosi yang dijalankan, katanya, kebanyakan agensi pelancongan khususnya dari Medan, Indonesia, menunjukkan minat yang tinggi terhadap MAPS.Nolee Ashilin berkata, kemudahan penerbangan secara langsung yang disediakan oleh Malindo Air dan YOU Wings di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, akan membantu melonjakkan jumlah pengunjung dari Medan ke Perak.

"Buat masa ini, kita memang menumpukan pasaran pelancongan kita di Medan berdasarkan perkhidmatan penerbangan yang ada, dan saya yakin MAPS mampu dijadikan tarikan utama.

"Sebelum ini, kita hanya ada taman tema biasa tetapi kini kita mempunyai taman tema yang memaparkan daya tarikan terkini serta watak animasi antarabangsa tersohor, jadi ini peluang terbaik untuk kita laksanakan penjenamaan semula pelancongan di Perak, khususnya di Ipoh," katanya.

MAPS, yang pembinaannya menelan kos RM450 juta, mempunyai enam zon berbeza untuk dikunjungi iaitu animasi berdasarkan persekitaran fantasi termasuk 'square', 'forest', 'blast off', 'DreamWorks' dan tasik.

Kerja pembinaan taman tema itu, yang terletak di tapak seluas 21 hektar berhampiran Lebuhraya Utara Selatan, kini siap antara 40 hingga 45 peratus.

Lokasi taman tema ini adalah strategik kerana berhampiran Plaza Tol Jelapang dan hanya tiga minit dari Terminal Ipoh Sentral, 20 minit dari lapangan terbang serta stesen kereta api.

MAPS juga dijangka menjadi daya tarikan baharu bagi percutian keluarga di kawasan utara Semenanjung Malaysia.

Apabila beroperasi kelak, kunjungan ke taman tema itu dianggar mampu mencecah 1.5 juta orang setahun dengan 17 hingga 18 peratus daripadanya adalah pelancong asing.

Sementara itu, Naib Pengerusi Eksekutif Pemasaran Destination Perak, Muhammad Zukni Mohamed Yusuf berkata, pihaknya kini menumpukan kepada proses menonjolkan MAPS sebagai tarikan baharu kepada pelancong dari Singapura, Arab, China dan India.

"Maklum balas yang kita terima sangat baik, ramai ejen yang datang kepada kita untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut," katanya sambil menambah kedudukan strategik MAPS membolehkan industri pelacongan di kawasan sekitar berkembang dengan baik.-- Bernama





MAPS, Ipoh

Artikel Lain