suria

MH17: "Sayang Uniform Abah, Tak Dapat Baju Raya Pun Tak Apa" - Irfan

Wan Yusuf Irfan memakai uniform juruterbang milik ayahnya, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin.

PETALING JAYA: “Irfan sayangkan uniform abah, tak dapat baju raya pun tak apa.” Itulah kata-kata Wan Yusuf Irfan, anak juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin.

Lebih mesra dengan panggilan Irfan, anak bongsu daripada dua beradik ini yang memanggil bapanya ‘abah’ tidak berharap untuk menyambut Aidilfitri dengan meriah sejak tahun lalu.

Walaupun baru berusia 10 tahun, selain perwatakan manja dan mudah tersentuh serta bersifat sensitif, namun pengalaman lalu yang mengubah kehidupan keluarganya sedikit-sebanyak mengajar dirinya menjadi anak yang lebih memahami.

“Irfan ada tanya ibu pasal baju raya baharu. Tetapi Irfan tengok ibu sibuk nak siapkan kerja (bisnes) biskut raya. Kasihan kat ibu. Irfan tak nak susahkan ibu, tak apalah,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

“Lagipun, baju raya Irfan dua tahun lalu masih ada, boleh pakai lagi,” katanya mengenai Aidilfitri terakhir bersama bapanya dua tahun lalu sebelum nahas berlaku.

Wan Yusuf Irfan (kiri) bersama ibu, Mariyam Yusoff dan abangnya, Wan Yunus Uzair.

Kini setahun pemergian bapanya yang terbabit nahas MH17 selepas ditembak jatuh di timur Ukraine dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai tahun lalu. Ulang tahun pertama tragedi ini jatuh pada Aidilfitri.

Sambil memakai uniform juruterbang kemeja putih kepunyaan bapanya yang lengkap dengan topi dan blazer, Irfan berkata, pakaian itu menjadi pengubat rindu di saat teringatkan arwah selain menyedekahkan Al-Fatihah.

Walaupun riak wajahnya kelihatan teruja apabila menyarungkan uniform peninggalan arwah bapanya, namun tiada siapa yang tahu rintihan hati kanak-kanak ini.

“Irfan selalu pakai uniform abah. Irfan rindu sangat kat abah,” katanya.

Tragedi yang mengorbankan bapanya bersama 297 penumpang dan anak kapal sedikit pun tidak mematahkan hasratnya untuk bergelar seorang juruterbang suatu hari nanti.

“Irfan nak jadi ‘pilot’ (juruterbang) bila besar nanti. Irfan nak ganti abah,” katanya mengenai cita-cita yang sudah lama disuarakan semasa bapanya masih hidup.

Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin.

Menurut Irfan, bapanya pernah berpesan supaya rajin dan cemerlang dalam peperiksaan sekiranya mahu mencapai cita-cita itu.

“Irfan akan cuba buktikan pada ibu dan abah yang Irfan boleh jadi pilot suatu hari nanti. Irfan nak terbang ‘pusing’ satu dunia, nak bawa ibu jalan-jalan,” katanya ceria, cuba menyembunyikan kesedihan beraya tanpa ayah di sisi.

Sementara itu, isteri juruterbang MH17, Mariyam Yusoff pula berkata, mempunyai baju baharu adalah kebiasaan yang diingini kanak-kanak menjelang Aidilfitri.

Bagaimanapun kata ibu kepada seorang lagi anak, Wan Yunus Uzair, 12, tiada persiapan raya yang dibuat tahun ini kerana mereka tiga beranak masih lagi bersedih dengan pemergian arwah.

“Sebagai anak, sudah tentu mereka ada meminta baju raya baharu tetapi saya sibuk untuk menyiapkan tempahan biskut raya untuk cari duit lebih sikit. Lagipun, masih ada lagi baju yang saya belikan belum dipakai mereka.

“Sedih memanglah sedih dengan raya kali ini seperti tahun lalu, tetapi saya terima dengan reda. Alhamdulillah, anak-anak masih boleh memahami dengan keadaan sekarang yang tidak sama seperti dulu,” katanya sayu mengenangkan nasib anak-anaknya yang akan membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.


Artikel Lain