KOTA KINABALU: Akses untuk melayari Sarawak Report disekat kerana kerajaan tidak dapat bertolak ansur dengan penipuan dan spekulasi berterusan yang dipaparkan laman web itu. Bagaimanapun, Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahtaraan Bandar, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau tidak fikir langkah itu akan memberi kesan. "Seikhlasnya, saya tidak fikir tindakan menyekat laman web itu berkesan. "Mungkin rakyat boleh melaluinya dan pada masa sama kerajaan perlu menyatakan pendirian berasaskan peruntukan undang-undang. "Jika tidak mengenakan tindakan undang-undang, lebih baik kerajaan sedia ada berhenti daripada fungsi sekarang tetapi pendirian berhubung isu ini perlu dinyatakan dengan jelas," kataya selepas rumah terbuka Aidilfitri di Tuaran, Isnin. Ketika ini, kata Abdul Rahman, negara berhadapan pelbagai cabaran dan kerajaan tidak seharusnya mengkritik kerana ia akan menggugat ekonomi. Pada Ahad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan pihaknya menyekat laman web Sarawak Report kerana ia menggugat kestabilan negara. Tindakan itu dilaksanakan mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia susulan pelbagai aduan yang diterima kerana memaparkan maklumat tidak berasas. Laman web itu akan disekat sehinggan Pasukan Petugas Khas selesai menyiasat isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).