KUCHING: Gambar pereka laman web yang didakwa digunakan Sarawak Report untuk memalsukan dokumen 1MDB dimasukkan secara tidak sengaja ke video pengakuan Lester Melanyi, dakwa bekas pengarang Sarawak Tribune itu. Melanyi berkata, dia tidak tahu siapa yang memasukkan gambar James Steward bersama dakwaannya bahawa pereka laman web yang memalsukan emel dan perjanjian atas arahan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown. "Pihak lain memasukkan gambar itu untuk menghasilkan rakaman yang lebih baik, jadi dia Google gambar pada laman web dan menemui lelaki itu," katanya kepada The Star, Selasa. Melanyi mendakwa, pada bahagian kedua video itu, pereka laman web itu yang bernama James Steward Stephen memalsukan dokumen untuk menimbulkan keraguan terhadap 1MDB. Mengetengahkan perkara ini, Rewcastle-Brown berkata, gambar dalam video itu adalah pengarah kanan stesen sebuah syarikat bas British, Abellio yang diambil dari laman web ketika lelaki berkenaan memberi taklimat. Bagaimanapun, Melanyi berkata dia masih tetap dengan dakwaannya bahawa pereka laman web itu bekerja secara sambilan untuk Sarawak Report. "Bukan dia seorang sahaja dengan nama berkenaan di dunia ini. James Steward adalah nama yang biasa didengar. Sebenarnya namanya adalah James Steward Stephen," katanya. Beliau juga menegaskan, Sarawak Report mengirimkan salinan artikel untuk diubah walaupun Rewcastle-Brown berkata, paparan skrin artikel dalam video itu sebenarnya adalah buletin yang diedarkan kepada lebih 7,000 pelanggan. "Mereka telah siapkan reka letak apabila artikel itu diberi kepada saya. Selepas menelitinya saya menghantar semula kepada Clare dengan catatan "Selesai"," dakwanya sambil menambah bukti emel turut ditunjukkan kepada polis yang mengambil keterangannya hujung minggu lalu. Bagaimanapun dia tidak dapat menunjukkan emel itu kepada The Star. Melanyi juga mendakwa Sarawak Report akan melakukan apa sahaja untuk menafikan sebarang kenyataannya.