KUALA LUMPUR: Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat membuktikan perlunya perundangan baharu untuk mengekalkan keharmonian kaum di negara ini, kata Tan Sri Joseph Kurup. "Insiden itu menunjukkan kita perlu merangka akta baharu untuk mengekalkan keharmonian rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama. "Apa yang saya maksudkan di sini adalah Akta Keharmonian Nasional," katanya ketika berucap semasa melakukan tinjauan mesra di Plaza Low Yat di sini pada Selasa. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, perundangan baharu itu yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang dijangka memberi tumpuan kepada langkah pencegahan, pendidikan, harmoni, kesederhanaan dan pemulihan. Tambah Kurup lagi, peruntukan baharu itu bukan untuk menggantikan Akta Hasutan, malahan ia berlainan daripada Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan sebelum ini.