PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada Selasa menasihatkan rakyat supaya tidak menjadi mangsa permainan politik. Sehubungan itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, setiap kenyataan dan mutiara kata yang dikeluarkan dari semasa ke semasa bukan bertujuan untuk menimbulkan ketegangan tetapi bagi mendidik rakyat supaya tidak menjadi mangsa permainan politik tanpa mengira aliran mana sekalipun. "Bahasa politik diolah supaya perkara yang dusta kedengaran seakan benar, dan perkara terkutuk seperti membunuh pun boleh kelihatan terpuji. "Perkara yang paling bahaya dan menakutkan adalah apabila manusia sanggup bermuka-muka demi mengejar kuasa dan kepentingan peribadi. "Rakyat harus bijak menilainya. Johor tidak boleh dibenarkan untuk terperangkap dalam kekusutan dan mainan politik," katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook, Johor Southern Tigers pada Selasa. Menurut Tunku Ismail, beliau sebagai Tunku Mahkota Johor bertanggungjawab untuk memastikan kedaulatan negeri dan bangsa Johor supaya tidak dimanipulasi oleh kepentingan dan cita-cita politik orang lain. "Kita perlu bersatu demi mempertahankan kedaulatan dan hak mutlak negeri, serta kesejahteraan rakyat Johor," katanya.